Nelayan hilang ditemui terapung

0

SANDAKAN: Mayat seorang nelayan yang hilang sejak Ahad lalu ditemui terapung dengan beberapa kesan calar di bahagian tengkuk berhampiran Pulau Simura dekat sini, pada tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata mangsa, Mazlan Salleh, 24, ditemui terapung oleh orang kampung di kawasan dilaporkan hilang kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, kes berkenaan akan ditutup tanpa siasatan mengikut permintaan keluarga mangsa yang enggan membenarkan bedah siasat dilakukan ke atas mayat.

“Kes berkenaan tidak membabitkan unsur jenayah dan kesan calar yang ditemui pada mangsa berkemungkinan disebabkan terkena benda keras.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut tidak dilakukan bagi menghormati permintaan keluarga mangsa. Kita diberitahu mereka (keluarga) mahu mengkebumikan mayat mangsa dengan segera bagi mengelak berbau busuk,” katanya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian malam Ahad itu, mangsa dilaporkan hilang ketika sedang memukat di perairan Pulau Simura selepas menghantar isterinya ke rumah mertua.

Bot milik mangsa ditemui terbalik oleh orang kampung pada pagi Isnin dengan keadaan enjin patah. Turut ditemui, dompet serta pukat mangsa.