PM tiada bantahan terhadap calon SUPP, kata Chin

0

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada bantahan terhadap senarai nama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) seperti mana yang telah diserahkan oleh pemimpin pusat parti itu.

Presidennya Datuk Seri Peter Chin memberitahu ia adalah se- narai pendek calon-calon SUPP seperti yang dipersetujui oleh parti dan Barisan Nasional (BN) Negeri.

“Nampak gaya senarai tersebut direstui oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Najib) kerana sehingga kini saya tidak menerima sebarang bantahan daripada beliau berhubung senarai akhir nama calon tersebut,” kata Chin.

Katanya, Perdana Menteri selaku pengerusi BN mempunyai kuasa untuk menentukan dan bersetuju dengan senarai calon-calon yang bakal mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) kelak.

Chin berkata, Najib sudah berjumpa dengan presiden-presiden parti kompenan BN khususnya yang mempunyai masalah dan isu, berkaitan dengan pemilihan calon-calon mereka.

“Bagi pihak SUPP, saya sudah menyerahkan senarai nama calon yang akan kami pertandingkan di kerusi-kerusi Parlimen di Sarawak sejak beberapa bulan lalu.

“Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap senarai nama tersebut,” tambahnya.

Chin memberitahu dalam pertemuan-pertemuan dengan Perdana Menteri sebelum ini, beliau (Najib) tidak pernah menyuara- kan atau membangkitkan sebarang bantahan terhadap senarai nama berkenaan.

“Justeru, saya menganggap ia sebagai ‘tanda’ bahawa Perdana Menteri bersetuju dan berpuas hati dengan calon-calon yang dikemukakan oleh SUPP,” katanya.

Mengenai lawatan Najib ke Miri pada 20 Februari ini, Chin mengesahkan perkara itu dan berkata satu majlis bertemu rakyat akan diadakan dan menjangkakan acara besar-besaran.

“Beliau (Najib) juga akan menghadiri majlis sambutan Chap Goh Mei dan bakal menyampaikan amanat penting kepada rakyat, khususnya pengundi di sini,” katanya.

“Ini adalah lawatan terakhir Perdana Menteri ke Miri sebelum PRU13,” jelas Chin.

Beliau memberitahu pada 20 Februari juga, Najib akan bertemu dengan para pemimpin BN bagi membincangkan persiapan akhir untuk menghadapi pilihan raya.

Berikutan itu, ramai pemerhati politik menjangkakan bahawa Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen selepas penutupan Tahun Baharu Cina iaitu Chap Goh Mei, bagi membolehkan PRU13 diadakan pada Mac depan.