Thursday, December 3

Proses pajak gadai hanya dibenarkan di premis berlesen

0

RAMPASAN: Ng (tengah) menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada beberapa kedai emas dalam satu serbuan baru-baru ini. Turut kelihatan Pegawai Penyiasat dan Pendakwa KPKT Sarjan Abang Razali (kiri) dan Pemangku Penolong Setiausaha KPKT Fadziana Putit (kanan).

KUCHING: Pengusaha kedai emas di negeri ini dinasihati agar tidak menjalankan proses pajak gadai di premis masing-masing untuk mengelak tindakan undang-undang terhadap mereka.

Gesaan dibuat Ketua Unit Penguatkuasa Bahagian Pemberi Pinjaman Wang dan Pajak Gadai Sarawak Superintenden Ng Ah Lek, yang menyatakan bahawa hanya premis pajak gadai berlesen sahaja dibenarkan menjalankan proses tersebut.

Justeru tegas beliau, mana-mana kedai emas yang didapati melakukan proses pajak gadai akan dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 jika didapati bersalah di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

“Kami memberi amaran kepada mereka yang menjalankan aktiviti pajak gadai tanpa lesen terutama kedai-kedai emas supaya meng-hentikan kegiatan tersebut serta-merta.

“Jika arahan ini tidak dipatuhi, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Pajak Gadai iaitu hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000,”katanya.

Beliau berkata demikian pada  sidang media di pejabat Kemen-terian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bahagian Pemberi Pinjaman Wang dan Pajak Gadai Sarawak di sini semalam.

Ujarnya selain mengenakan hukuman, pihaknya juga akan me-rampas kesemua barang kemas daripada premis yang didapati bersalah sementara pemiliknya akan dituduh di mahkamah.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kami telah membuat serbuan ke atas tiga kedai emas di Limbang dan turut merampas barang kemas bernilai sekurang-kurangnya RM100,000.

“Justeru untuk mengelakkan perkara ini berlaku, mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti ini perlu mendapatkan permit sah daripada kementerian terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa Pemberi Pinjaman Wang (PPW) haram atau lebih dikenali sebagai Ah Long kini berhadapan dengan hukuman de-nda sehingga RM1 juta jika didapati masih beroperasi tanpa permit sah.

Menurut Ng, hukuman tersebut akan diambil di bawah Akta Pe-minjam Wang Pindaan 2011 yang berkuat kuasa di negeri ini pada April 2011.

“Mereka (Ah Long) yang didapati bersalah akan dikenakan de-nda minimum RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Peminjam Wang Pindaan 2011,” katanya sambil menambah di Kuching sahaja terdapat 139 PPW berlesen.

Selain itu, Ng turut memohon orang awam yang mempunyai maklumat berhubung mana-mana aktiviti tersebut supaya menghubu-ngi KPKT di talian 082-258200 atau melayari www.kpkt.gov.my.