Giliran NS Betaria kena ‘sayot’

0

KUCHING: Skuad Ngap Sayot meneruskan rentak cemerlang apabila menjadikan pasukan berstatus kelab, NS Betaria FC mangsa seterusnya dengan kemenangan tipis 1-0 pada saingan Liga Perdana 2013 di Stadium Hang Jebat, Melaka petang semalam.

Gol tunggal pasukan Sarawak diledakkan oleh bintang import dari Cameroon, Guy Bwele pada minit ke-83 membolehkan skuad Bujang Senang pulang dengan tiga mata penuh.

Kemenangan itu mengekalkan Sarawak pada kedudukan di tangga kedua liga belakang pendahulu, Sime Darby FC yang juga unggul mencatat kemenangan besar membelasah jirannya, Kuala Lumpur dengan 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor petang semalam.

“Kemasukan Guy (Bwele) pada babak kedua, setelah tidak diturunkan pada pertemuan dengan PDRM di Kuching Jumaat lalu ternyata membawa ‘berita gembira’ buat pasukan kita apabila dia (Bwele) muncul wira menjaringkan gol kemenangan,” kata penolong jurulatih Sarawak, David Usop.

Menurut David, kesebelasan utama yang diturunkan pada pertemuan dengan NS Betaria FC semalam ternyata mampu memberi tentangan sengit kepada pihak lawan dengan beberapa peluang dijelmakan.

Bagaimanapun, sepanjang babak pertama Sarawak gagal menemui sentuhan jaringan meskipun banyak peluang yang diperolehi untuk menghasilkan jaringan.

“Kami banyak memperolehi peluang untuk menghasilkan jaringan pada babak pertama dan seawal saingan babak kedua, namun kegagalan melakukan penyudah dan kekebalan benteng pertahanan menidakkan keupayan skuad kita,” jelas David.

Dengan kemenangan tipis petang semalam, Sarawak kini mengutip 17 mata berkongsi mata dengan pendahulu liga setakat ini, Sime Darby FC.

Skuad Ngap Sayot akan meneruskan perjuangan mereka menentang Johor di laman sendiri, Stadium Negeri Kuching pada 22 Februari ini (Jumaat).

Sementara itu, jiran Sarawak iaitu Sabah tewas mengejutkan di pangkuan KL Pos Malaysia dengan 2-1 di laman sendiri, Stadium Likas Kota Kinabalu petang semalam.

Manakala Johor menambah derita pasukan pengaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 2-1 di Stadium Pasir Gudang.

Kedah pula mengecewakan SPA Putrajaya juga dengan 2-1 di UiTM Shah Alam.