18 jelitawan rebut mahkota Miss Cheongsam M’sia 23 Feb

0
BAKAL BERENTAP: Para finalis Miss Cheongsam Malaysia 2013 ketika sesi suai kenal di Hotel Riverside Majestic, Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

BAKAL BERENTAP: Para finalis Miss Cheongsam Malaysia 2013 ketika sesi suai kenal di Hotel Riverside Majestic, Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Seramai 18 finalis dari seluruh negara bakal berentap pada peringkat akhir pertandingan ratu cantik Miss Cheongsam Malaysia 2013 yang akan berlangsung pada hari     ke-14 Tahun Baharu Cina iaitu Sabtu, 23 Februari ini di Hotel Riverside Majestic, di sini.

Para peserta tersebut terdiri daripada Tin Ye Shin, 22, dari Kuantan, Kho Foong Ling, 22, dari Kuala Lumpur, Leong Hui Yee, 21, dari Raub, Ng Siew Wan, 21, dari Taiping, Ten Lek Feng, 23, dari Lahad Datu, Pang Xing Rou, 20, dari Butterworth, Sii Siew Kiet, 20, dari Kapit, Lim May Li, 23, dari George Town, Sze Thu Shiao Ping, 22, dari Miri, Chai Siew Ching, 24, dari Limbang, Tneh Joo Huei, 22, dari George Town, Yap Yie Huan, 22, dari Johor Bahru, Tang Siew Ling, 21, dari Sibu, Lau Ching Sze, 19, dari Kuching, Ong Ai Ee, 23, dari Ipoh, Liew Sin Yi, 23, dari Serian, Chang Siew Chien, 21, dari Kuching dan Sim Wen Wen, 19, dari Bintulu.

Hadiah bagi finalis yang dinobatkan sebagai Miss Cheongsam Malaysia 2013 ialah wang tunai RM5,000, sementara pemenang kedua menerima RM3,000, ketiga RM2,000, keempat RM1,000 dan kelima RM800.

Anugerah sampingan turut menawarkan hadiah wang tunai kepada setiap pemenang dengan Cheongsam Terbaik RM500, Miss Talent RM500, Miss Personality RM300, Miss Photogenic RM300 dan Miss Friendship RM300.

Finalis yang tidak memena-ngi sebarang anugerah juga akan pulang dengan sagu hati berupa wang tunai RM200.

Justeru, sepanjang penginapan barisan finalis di Kuching sempena peringkat akhir itu, mereka akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik seperti Kampung Budaya Sarawak dan Rumah Orang Tua Hung Nang Siang T’ng pada hari ini.

Sementara, tetamu kehormat bagi pertandingan akhir itu nanti ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng.

Penganjur yang juga pemilik Alaric’s Production Company Alaric Soh berkata, pertandi-ngan akhir juga akan menyaksikan upacara penyerahan sumbangan berjumlah RM70,000 iaitu RM50,000 daripada Naim Holdings Bhd kepada Sekolah Chung Hua No. 1, 3 dan 4 dan RM20,000 daripada Yong kepada Rumah Orang Tua Hung Nang Siang T’ng.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Naim dan Datuk Yong atas sumbangan mereka sebagai usaha menyokong penganjuran Miss Cheongsam Malaysia 2013,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut menaja pertandingan ialah Hotel Riverside Majestic Kuching, Akademi Kecantikan Alaric, Lea Centre, Inspiration Alan Saloon, Diamond Press, The Borneo Post, See Hua Daily News, Les Paul dan Lady Jenn.

Miss Cheongsam Malaysia 2013 memasuki edisi penganjuran kali ke-23 sejak tahun 1991 sebagai acara kebajikan dan kemasyarakatan, di sam-ping turut mempromosikan budaya Cina sempena perayaan Tahun Baharu Cina.