Anak Kampung juara badminton berpasukan tertutup Sarawak

0
PEMENANG: Para pemenang Pertandingan Badminton Berpasukan Tertutup Sarawak di Mukah pada Ahad lalu.

PEMENANG: Para pemenang Pertandingan Badminton Berpasukan Tertutup Sarawak di Mukah pada Ahad lalu.

KUCHING: Pasukan Anak Kampung menjuarai Pertandingan Badminton Berpasukan Tertutup Sarawak setelah menewaskan Anak Kampung ISK dengan 2-1 pada Ahad lalu.

Kejayaan itu membolehkan mereka meraih wang tunai berjumlah RM1,000 berserta piala pusingan dan pingat.

Manakala Anak Kampung ISK pula menerima RM700, piala dan pingat sementara tempat ketiga dikongsi bersama Anak Kampung ISS dan Square A BC dari Miri menerima RM400.

Anak Kampung memperolehi mata pertama setelah gandingan Yusri Azmi Yusuf/ Ayub Ibrahim berjaya menewaskan Mukhris/Faiz (Anak Kampung ISK) dengan 21-18, 21-12.

Anak Kampung ISK menyamakan kedudukan 1-1 menerusi beregu veteran setelah gandingan Suaidi/Atik menundukkan Kepli/Jeffery dengan 14-21, 15-21.

Bagaimanapun, nasib lebih memihak kepada Anak Kampung setelah wakilnya, Muhaizam/ Mohd Najib Yusuf berjaya menewaskan pasangan Sun Chiong/Kamarul dalam tiga set 17-21, 21-16, 21-6 pada perlawanan ketiga sekali gus muncul juara.

Sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan yang diadakan pada 15 hingga 17 Februari lalu dan dianjurkan oleh Restoran Anak Kampung dengan kerjasama My Sports (Kapit), Kawasaki, Prowax Trading (Sibu) dan Maeltree Badminton Team (Sibu).

Kejohanan itu berlangsung di Dewan Serbaguna Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mukah dan Dewan Serbaguna Methodist Mukah.

Antara yang mengambil bahagian ialah Square A BC, IRS HASS (Miri), MSBC A dan MSBC B (Morza Solution dari Sri Aman), Maeltree Sibu, Azzaty A dan Azzaty B (Sibu), Manara 7 (Kuching), Anak Kampung, Anak Kampung ISK, Anak Kampung ISS, Sin Soon Lee@ Ideal CS, Oya, BR Sg Ud Dalat, Polis (Mukah) dan Kapit Trust (Kapit).

Hadiah pemenang disampaikan oleh Ketua Polis Mukah, DSP Omar Bakhtiar Yakub.