Regata Bandarayaku sebagai pembuka tirai acara tahun ini

0

KUCHING : Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengumumkan penganjuran Regata Bandarayaku 2013 yang akan diadakan pada 23 dan 24 Februari ini sebagai membuka tirai acara tahun ini.

Menurut kenyataan daripada DBKU, Sungai Sarawak yang terkenal dengan kebersihannya dan kepelbagaian aktiviti sukan air turut merupakan nadi kepada kehidupan bagi seluruh penduduk di negeri ini khususnya di Kuching.

Regata Bandarayaku diadakan dengan kerjasama Azman Global Development Holdings Sdn Bhd, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Sarawak, Pejabat Residen, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pengurusan Tebingan Sungai Sarawak, Jabatan Laut Sarawak, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan agensi-agensi berkaitan.

Tahun ini penyertaan adalah terbuka kepada semua penduduk di Sarawak termasuk badan-badan berkanun, pihak swasta, institut pengajian tinggi awam dan kampung-kampung kawasan Kejiranan Mesra.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dijangka akan merasmikan regata tersebut sementara majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan suasana regata itu seperti jualan ‘car boot’, pertandingan karaoke, persembahan bergendang dan lain-lain.

Untuk keterangan lanjut mengenai Regata Bandarayaku sila hubungi Noraini Karim Abdillah di talian 082- 446688 (sambungan 130) atau 016-8570314 atau email ke [email protected].