Friday, December 6

Dua belia terima sebahagian daripada tabung projek SYTD

0

MIRI: Dua belia Miri terpilih menerima sebahagian daripada tabung projek pencarian bakat Sarawak Youth Talent Discovery (SYTD) dalam majlis ringkas yang diadakan di pejabat Kumpulan See Hua Miri di sini petang semalam.

 

Phoebe Voong Zhing Zhing, 20, menerima RM10,000 bagi meneruskan cita-citanya dalam menyelami bidang rekaan grafik dan kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan di peringkat sarjana tahun pertama di Kolej Antarabangsa KBU Petaling Jaya.

Beliau mahu menggunakan kreativitinya untuk menyebarkan rasa kasih sayang dan persahabatan kepada masyarakat pelbagai kaum di sini.

Cita-cita serta keinginan beliau membolehkan beliau menerima sebahagian dana RM1 juta menerusi projek SYTD.

Cek bernilai RM10,000 disampaikan kepada wakil beliau yang juga ibunya, Mary Leong.

Manakala Vera Pillai, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columba Miri pula menerima peralatan membuat kad bernilai RM2,000 bagi menyokong beliau meneruskan minatnya dalam mencipta kad yang menarik.

“Saya suka mereka cipta kad yang menarik untuk diberikan kepada ahli keluarga dan sahabat handai pelbagai musim perayaan atau hari-hari istimewa mereka.

“Saya begitu teruja dan gembira apabila mengetahui saya merupakan salah seorang penerima melalui projek berkenaan dan sudah pasti akan menggunakan peralatan yang diterima dengan sebaik mungkin,” jelasnya.

SYTD merupakan sebuah projek belia yang diilhamkan oleh Kumpulan KTS pada tahun lepas sempena sambutan ke-50 tahun syarikat terbabit.

Melalui projek tersebut, Kumpulan KTS mahu membantu pembangunan bakat belia di Sarawak dengan geran RM1 juta.

Di bawah projek berkenaan, belia yang berbakat berusia antara 18 tahun hingga 35 tahun digalakkan menghantar pelbagai karya dan bakat mereka berserta dengan harapan mereka terhadap karya yang dicipta.

Majlis ringkas penyampaian tersebut disempurnakan oleh Pengurus Cawangan See Hua Marketing Miri Wong Kee Mee.