Hanya Najib mampu bawa perubahan kepada M’sia

2

Taib percaya hanya Najib dapat bawa masa depan lebih cemerlang untuk generasi kini, akan datang

ALBUM: Najib (dua kiri) dan isteri, Rosmah (tiga kiri) dan Taib (empat kiri) sempat meluang masa melawat pameran Buku Tandatangan Sokongan Penduduk Miri terhadap BN di Miri malam kelmarin.

ALBUM: Najib (dua kiri) dan isteri, Rosmah (tiga kiri) dan Taib (empat kiri) sempat meluang masa melawat pameran Buku Tandatangan Sokongan Penduduk Miri terhadap BN di Miri malam kelmarin.

MIRI: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan hanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mampu membawa perubahan landskap yang lebih cemerlang untuk Malaysia.

Sambil melaungkan ‘we are for u’ sebanyak tiga kali, Taib percaya pemimpin nombor satu negara itu dapat membawa masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi kini dan akan datang.

“Kita di Sarawak akan berdiri kukuh di belakang beliau kerana bagi kita, hanya beliau sahaja yang dapat menjanjikan masa depan yang lebih cemerlang kepada Malaysia terutama Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum.

“Beliau juga memahami inspirasi setiap kaum di Sarawak dan setiap kali lawatannya ke sini, ada sahaja buah tangan yang diberikan untuk rakyat,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2013 di sini, malam kelmarin.

Beliau menambah, Najib telah melawat lebih 30 tempat di Sarawak sekali gus memahami aspirasi dan keperluan rakyat Sarawak yang berbilang kaum.

“Beliau ingin menekankan bahawa Barisan Nasional (BN) bukan hanya berusaha untuk membela nasib satu-satu kaum sebaliknya ingin mendirikan satu fahaman yang lebih kukuh dalam semua bangsa Malaysia,” katanya.

Taib turut mengakui bahawa perbezaan jurang taraf hidup rakyat dari segi ekonomi semakin rapat melalui hubungan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Kita (BN Negeri) akan berusaha keras membuktikan apa yang kita capai dan miliki hari ini, akan terus dinikmati oleh generasi akan datang dan memberi mandat sepenuhnya kepada Najib sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama katanya, Sarawak merupakan contoh yang terbaik dalam melaksanakan konsep 1Malaysia melalui kunjungan pada musim perayaan.

“Kita sentiasa mengambil peluang setiap tahun untuk melawat kaum-kaum Cina menerusi pemimpin-pemimpin dan persatuan mereka kerana bagi kita, kaum Cina di Sarawak ini adalah sebahagian daripada masyarakat kita yang pelbagai kaum,” katanya.

Majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, menteri-menteri kabinet negeri, ADUN dan pemimpin masyarakat tempatan.

Majlis yang dihadiri lebih 5,000 orang tetamu diserikan dengan persembahan kebudayaan Cina termasuk tarian singa dan persembahan nyanyian daripada artis tempatan.