RM300j selenggara, baik pulih jalan Sarawak

1

KUCHING: Kerajaan persekutuan memperuntukkan kira-kira RM300 juta setahun untuk menyelenggara dan membaik pulih jalan raya merangkumi jalan bandaran, jalan negeri dan jalan kampung di seluruh Sarawak.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng berkata, Sarawak ketika ini mempunyai jalan raya sepanjang 300 kilometer yang dikategorikan jalan bandaran, negeri dan kampung dengan kos penyelenggaraan sebenar kira-kira RM600 juta setahun.

“Kerajaan persekutuan menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) memperuntukkan RM300 hingga RM400 setahun kepada Sarawak dan peruntukan itu akan diagihkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengikut keperluan.

“Kita (kerajaan) menganggarkan kos penyelenggaraan dan membaik pulih setiap satu kilometer jalan sebanyak RM20,000.

Dalam konteks Sarawak, ketika ini ada 300 kilometer jalan di bawah bidang kuasa MARRIS.

Ini tidak termasuk yang belum diiktiraf,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Tahun Baharu Cina Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, pada tahun 2011 kerajaan persekutuan memperuntukkan RM8 juta untuk PBT itu menyelenggara dan membaik pulih jalan dalam kawasan pentadbirannya.

Beliau berkata, jumlah itu bertambah tahun lepas kepada RM12 juta dan dijangka terus meningkat pada tahun ini.

“Semua ini adalah hasil daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan pada tahun 2009 dan membawa banyak perubahan membanggakan kepada MPP kerana banyak pencapaian direkodkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Menerusi peningkatan jumlah peruntukan daripada MARRIS, MPP telah dapat menyelenggara banyak jalan termasuk di kawasan kampung.

Semua ini juga hasil kerjasama semua pihak di MPP,” katanya.

Lo yang dilantik sebagai Pengerusi MPP pada 2010 menggantikan pengerusi terdahulu Tan Joo Phoi memberitahu, di bawah GTP juga, MPP mengalami perubahan yang drastik apabila kawasan itu menjadi pilihan utama pemaju-pemaju hartanah untuk membuka kawasan komersil serta estet perumahan.

Beliau berkata, MPP merupakan PBT yang mempunyai keluasan terbesar iaitu 431.8 kilometer persegi merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar dengan anggaran penduduk 300,000 orang.

“Ciri-ciri inilah yang memberi cabaran besar kepada MPP untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan kita sedang berusaha keras ke arah itu,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MPP Mohd Hashim Yap, Setiausaha MPP Michael Saweng, pengerusi pengelola majlis Lee Sin Fah, ahli-ahli majlis serta ketua-ketua masyarakat.

Pada majlis itu turut meraikan penghuni dari Cheshire Home Kuching.