Staf KUIN cuma tuntut hak, nafi jadi ejen parti politik

0

KUALA NERANG: Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) hanya menuntut hak mereka yang dikata diabaikan kerajaan Kedah dan bukan menjadi ejen parti politik tertentu.

Menegaskan demikian, ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tuduhan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi Kuin bahawa kakitangan KUIN sebagai ejen UMNO adalah tidak benar.

“Kalau mereka berani berhadapan dengan media, berani buat laporan polis, bawa memorandum ke Wisma Darul Aman dan pensyarah KUIN sendiri berikan sidang media, saya tidak fikir mereka jadi ejen sesiapa.

“Pada saya mereka menuntut hak sahaja tapi kalau kerajaan negeri tidak mampu nak tunaikan dan tidak cekap dalam urusan kewangan, inilah jadinya bila pandai bercakap sahaja,” kata Mahdzir.

Beliau diminta mengulas dakwaan Azizan itu, selepas melancarkan program khidmat masyarakat MARA dan penyerahan baucar buku 1Malaysia di Kolej MARA Kuala Nerang di sini, semalam. — Bernama