Pertahankan semua kerusi SPDP

3

MIRI: Presiden Parti Demo-kratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom memberitahu bahawa beliau akan melakukan apa sahaja pendekatan terbaik untuk mengekalkan keempat-empat kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Mawan berkata, beliau dan jentera SPDP tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk merampas kerusi yang diperuntukkan kepada mereka oleh Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak boleh kehila-ngan atau kalah walaupun satu kerusi kepada pihak pembangkang.

“Kita mesti mempertahan keempat-empat kerusi Parlimen ini iaitu Mas Gading, Saratok, Bintulu dan Baram,” katanya pada Majlis Makan Malam Perpaduan SPDP anjuran SPDP Piasau di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Sehubungan itu, beliau mahu ahli-ahli parti di peringkat akar umbi melupakan apa juga persengketaan dalam parti dan memberi tumpuan kepada persiapan menjelang PRU13 nanti.

Katanya semua parti mempunyai masalah dalaman tersendiri, namun ia bergantung kepada parti itu sendiri untuk mencari pendekatan yang sesuai bagi meng-atasinya.

“Dalam menentukan ke-sinambungan parti, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dan mempunyai keinginan untuk menjatuhkan orang lain.

“Kita harus meletakkan kepentingan parti dan BN di hadapan manakala kepentingan peribadi harus ditolak ke tepi,” ujarnya.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial turut bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden Kanannya Datuk Jacob Dungau Sagan yang menyatakan SPDP masih mempunyai kekuatan dan utuh menghadapi cabaran PRU13 akan datang.

“Jika kita bersatu hati dan mengekalkan perpaduan, tidak mustahil untuk kita dapat menang keempat-empat kawasan Parlimen yang dipertandingkan,” katanya.

Apa yang penting, kata Mawan, parti harus menyokong calon BN yang dipertandingkan sama ada daripada SPDP atau calon parti komponen BN yang lain.

Dalam pada itu, Mawan turut mengalu-alukan ahli-ahli bekas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Saratok, Miri dan Baram yang baharu menyertai SPDP yang turut hadir pada majlis makan malam tersebut.

Pada majlis yang sama, Mawan turut menerima borang permohonan untuk menjadi ahli SPDP daripada 468 bekas ahli PKR yang disampaikan oleh bekas Ketua Cawangan PKR Kabong Ismail Hussain.

Hadir sama Datuk Jacob Dungau Sagan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Kijan Toynbee dan Peter Howell Jilan.