SMK Sebauh pertahan juara Piala Tunas Harapan BDA

0
TAHNIAH: Mohidin (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada para pemain SMK Sebauh sambil disaksikan Wan Ibrahim (kiri), Awg Alauddin dan Duke.

TAHNIAH: Mohidin (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada para pemain SMK Sebauh sambil disaksikan Wan Ibrahim (kiri), Awg Alauddin dan Duke.

BINTULU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh berjaya mempertahan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu setelah mengulangi kejayaan menewaskan SMK Asyakirin dengan 2-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Tunas Harapan BDA Edisi Ketujuh 2013 (kategori 17 tahun) di Stadium Mini Bintulu, lewat petang kelmarin.

Jaringan Thomas Thompson dan Jimmy Ramon pada minit ke-26 dan ke- 40 memastikan status juara bertahan kekal menjadi milik SMK Sebauh, meskipun mendapat tentangan sengit SMK Asyakirin.

Dengan kemenangan itu, SMK Sebauh menerima habuan wang tunai RM800, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Manakala naib juara yang menjadi milik SMK Asyakirin menerima wang tunai RM600, piala iringan dan pingat.

Tempat ketiga bersama masing-masing disandang SMK Kidurong dan SMK Tatau dengan menerima hadiah wang tunai RM200 dan piala iringan.

Dalam perlawanan separuh akhir sebelumnya, SMK Sebauh menang tipis 1-0 ke atas SMK Tatau dan SMK Asyakirin membenam SMK Kidurong 3-1.

Anugerah Penjaring Terbanyak dengan empat gol sepanjang kejohanan disandang oleh Stenly Enteri Beji (SMK Asyakirin) dan Pemain Terbaik dianugerahkan kepada Jimmy Ramon (SMK Sebauh).

Anugerah Fairplay pula disandang oleh SMK Kemena.

Hadiah kepada pemenang dan sepak mula kejohanan disempurnakan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Mohidin Ishak.

Kejohanan anjuran BDA dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu dan Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) itu adalah sempena ulang tahun BDA ke-35 yang akan disambut pada 8 Julai tahun ini.

Sebanyak sembilan pasukan menyertai kejohanan itu terdiri daripada SMK Baru, SMK Bandar, Kolej Vokasional Bintulu, SMK Kemena, SMK Sebauh, SMK Asyakirin, SMK Tatau, SMK Kidurong dan Akademi BDA.

Kejohanan itu berlangsung sejak 22 Februari lalu secara liga.

Juara kejohanan itu sejak edisi pertama diperkenalkan pada 2007 ialah SMK Tatau, diikuti Akademi Bola Sepak BDA (2008), SM Teknik (2009), SM Teknik (2010), SMK Asyakirin (2011) dan SMK Sebauh(2012).

Hadir sama Presiden BiFA Duke Janteng, Setiausaha Bahagian (Pihak Berkuasa Tempatan Perkhidmatan Alam Sekitar) BDA Wan Ibrahim Wan Ali, Pengurus Seksyen Hal Ehwal Awam BDA, Mohammed Ansari Mohamad Syed Ahmad, manakala Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bintulu diwakili oleh Awangku Alauddin Awang Adenani.