Chris di landasan menjadi pemain skuasy profesional

0

SIBU: Chris Lau kini berada pada landasan terbaik menjadi seorang pemain skuasy profesional selepas prestasi cemerlangnya ketika menyertai CIMB Rising Star National Junior Squash (RSNJS) di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Chris berjaya mengungguli pusingan pertama kejohanan berkenaan menerusi kategori bawah 9 tahun dengan mengenepikan cabaran daripada peserta Negeri Sembilan, Kaydenn Keeshan Pragasam dengan 3-0 (11-6, 11-4, 11-6).

Pusingan kedua akan diadakan di Melaka pada 14 hingga 17 Mac depan.

Sementara pusingan akhir dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 12 Mac di Stadium Bukit Jalil.

“Saya berjaya menjadi juara dalam perlawanan pertama dan diharapkan rentak cemerlang tersebut dapat diteruskan pada pusingan seterusnya.

“Selain itu, saya juga mengimpikan sebagai peserta yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan tersebut,” kata pelajar berusia 9 tahun dari SJKC Dung Sang di sini.

Lebih 50 pemain dari seluruh negara mengambil bahagian pada kejohanan empat hari yang bertujuan memilih pemain skuasy berbakat.

Ditanya siapakah idola beliau, Chris dengan segera menjawab beliau merupakan peminat ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Beliau juga turut meminati pemain squash nombor empat dunia dari Perancis, Gregory Gaultier.

“Mereka adalah pemain skuasy terbaik di dunia dan saya sering menonton mereka bermain menerusi siaran langsung di televisyen.

“Mudah-mudahan, saya dapat mencontohi mereka pada satu hari nanti dan berjaya serta terkenal seperti mereka,” katanya berseloroh.

Chris mula aktif dalam sukan berkenaan pada usia enam tahun lagi sebelum beliau dipertemukan dengan Jurulatih Pakistan, Shahid Aziz.

Sejak itu, beliau mengikuti latihan selama lima hari setiap minggu di gelanggang skuasy SMK Sacred Heart bersama pemain senior yang lain.

Kini Chris diletakkan bersama jurulatih yang baharu juga dari Pakistan Awais Amir bagi memperkukuhkan latihannya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Skuasy Sarawak Robert lau Hui Yew menyifatkan prestasi Chris barubaru ini sebagai menakjubkan.

“Dia mempunyai masa depan yang cerah jika diberi pendedahkan yang secukupnya dan betul-betul,” jelas beliau.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa Chris serta peminat sukan berkenaan dapat memberi sokongan padu terhadap perjuangannya dalam sukan tersebut.