Curi kereta: Empat individu ditahan termasuk suami isteri

0

SHAH ALAM: Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dipercayai dalang sindiket curi kereta, dalam beberapa serbuan di Kuala Lumpur pada Ahad dan Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dengan penangkapan kesemua suspek berumur antara 21 dan 36 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan 19 kes curi kereta bernilai hampir RM500,000 di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 30 tahun dari Tawau, Sabah ditahan ketika berada dalam kereta bernombor pendaftaran palsu di Taman Sungai Besi Indah kira-kira pukul 2 petang 24 Feb lepas,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Beliau berkata tangkapan itu adalah susulan laporan kehilangan kereta jenis Proton Wira milik seorang lelaki berumur 57 tahun di kawasan perumahan Taman Sungai Indah kira-kira jam 1.17 tengah hari, hari yang sama.

Mohd Adnan berkata suspek pertama terbabit ditahan dalam kereta milik mangsa yang mengecamnya melalui rim sport kenderaan itu.

Beliau berkata tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki berumur 36 tahun pemilik bengkel kenderaan pada jam 6 petang hari yang sama di rumahnya di Taman Sri Bahagia, Kuala Lumpur dipercayai dalang yang bertindak mengasingkan komponen kenderaan curi.

“Hasil dari tangkapan itu, membawa kepada satu lagi tangkapan membabitkan sepasang suami isteri berumur 28 dan 21 tahun di tepi sebuah jalan berhampiran kawasan perumahan yang sama kira-kira jam7.15 malam,” katanya.

Mohd Adnan berkata polis turut merampas sebuah kereta curi jenis Proton Iswara yang dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras pada tahun lepas. — Bernama