DBKU sasar jadikan Kuching bandar raya pilihan Asia 2017

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berhasrat menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya pilihan di Asia menjelang tahun 2017.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, ia akan dilaksanakan di bawah program transformasi Pelan Peningkatan Bersih, Cantik dan Selamat (CBS) 2013-2017.

“Program kerjasama itu adalah salah satu cara kita menjaga keceriaan tempat-tempat di sekitar kawasan bandar raya dengan penglibatan komuniti.

“Selain itu, kita juga memupuk dan menghidupkan semangat kerjasama dan sukarela di antara pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dalam menjayakan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya ketika menyerahkan plak simbolik penyerahan penjagaan Taman Wayang Street sebagai ‘anak angkat’ kepada Presiden Persatuan Hokkien Kuching, Richard Wee di sini, semalam.

Tempoh penjagaan itu diamanahkan selama tiga tahun mulai tahun ini hingga 2016.

“Taman Wayang Street disasar menjadi sebuah taman yang mempunyai persekitaran bersih, ceria, cantik dan dilengkapi kemudahan yang mencukupi untuk kegunaan komuniti.

“Lagipun, Wayang Street merupakan kawasan peninggalan perniagaan terawal yang boleh dipromosikan sebagai pusat rekreasi pelancong dalam dan luar negara,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Wahap berkata, mengikut statistik polis, jenayah yang dicatatkan di Tebingan Kuching masih rendah jika dibandingkan di tempat-tempat lain.

“Hanya kerana ia banyak diperkatakan, maka dengan itu, ia seolah-olah menampakkan jenayah banyak berlaku di sini.

“Pihak polis banyak menjalankan rondaan dan komuniti sendiri perlu berbuat sesuatu seperti pekedai, mereka yang lalu-lalang untuk menghentikan penjenayah dengan memberi maklumat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua golongan masyarakat untuk memberi maklumat agar perkara itu dapat dikawal sebaiknya.

Menerusi kawalan itu, pihaknya turut menetapkan sasaran 20 hingga 30 peratus penurunan jumlah perbelanjaan membaik pulih berbanding RM400,000 tahun lepas.

Beliau turut menyarankan agar bangunan perniagaan di sekitar bandar raya yang kelihatan usang dicat semula sebelum 31 Mac ini, dan sekiranya enggan mereka akan dikenakan tindakan penalti oleh pihak majlis.

“Ini kerana kita mahu sambutan Ulang Tahun Ke-50 pembentukan Malaysia diraikan dengan meriah dan ceria,” jelasnya.

Turut hadir semalam ialah Pengerusi SUPP Padungan Datuk Lily Yong dan Timbalan Pengarah DBKU Kartina Zamhari serta pegawai-pegawai kanan DBKU.