Tuesday, November 19

K’jaan terus bantu rakyat yang memerlukan, ditimpa musibah

0
PRIHATIN: Robert menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Betong semalam.

PRIHATIN: Robert menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Betong semalam.

SARATOK: Usaha kerajaan memberi kemudahan dan membantu rakyat yang memerlukan dan ditimpa musibah terus dijalankan.

Justeru, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong turun padang untuk menyumbang bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Chendang, Sungai Antu, Krian di sini semalam.

Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat hadir pada program yang melibatkan JKM Sarawak dan JKM Betong dengan menyampaikan bantuan kepada mangsa tersebut membabitkan bantuan bahan binaan berupa wang tunai berjumlah RM2,500 untuk sepintu kepada 20 ketua keluarga rumah panjang terbabit.

Pengarah JKM Sarawak, Noriah Ahmad berkata bantuan itu adalah kesinambungan daripada bantuan yang telah diberikan terdahulu selepas kejadian kebakaran berlaku pada 16 Januari lalu memusnahkan rumah panjang 20 pintu yang dihuni seramai 115 orang penduduk.

“Bagi meringankan beban mangsa, selain beberapa bantuan yang diberikan berupa bantuan bagi setiap pintu (20 pintu) dan setiap orang mangsa menelan jumlah keseluruhan bernilai RM71,370.

“Antaranya ialah bantuan makanan untuk seminggu berjumlah RM150 sepintu, perkakas dapur berjumlah RM100 sepintu, wang tunai RM40 setiap seorang mangsa, pakaian harian RM70 setiap seorang, pakaian sekolah RM70 dan peralatan sekolah RM50 bagi setiap pelajar serta nasi bungkus untuk setiap mangsa selepas kejadian tempoh hari.

“Sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam memberikan bantuan kebajikan kepada setiap penerima yang layak dan mangsa pelbagai musibah tidak terkecuali mereka yang terlibat dalam kebakaran, kami akan terus berusaha memberikan bantuan yang terdaya bagi meringankan beban mangsa,” katanya.

“Kami bersedia menghulurkan bantuan sepanjang masa dan akan terus membantu meskipun dalam nilai dan jumlah yang agak kecil, tetapi amat memadai kepada mangsa yang benar-benar memerlukan keperluan bagi mereka meneruskan kehidupan.

“Itulah sebabnya kami di JKM sentiasa berhubung antara satu sama lain dan tidak mengira kawasan yang ditadbir meskipun meliputi kawasan pentadbiran daerah lain, kerana mungkin kawasan musibah lebih dekat dengan kawasan pentadbiran JKM yang ada.

“Ini kerana kita memikirkan keperluan setiap insan yang mengharapkan bantuan untuk dibantu dalam kadar daya yang membolehkan kita terus bersatu dalam satu jabatan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan bahan binaan kepada mangsa kebakaran Rh Chendang, Sungai Antu di Dewan SK Sungai Antu, di sini semalam.

Sementara itu, Tuai Rumah Chendang Andrew mengucapkan penghargaan atas bantuan yang dihulurkan oleh JKM sejak berlakunya kebakaran lalu sehingga hari ini, pelbagai bantuan yang diberikan kepada mereka.

“Terima kasih kepada kerajaan yang menyumbangkan bantuan ini bagi meringankan beban yang kami tanggung selepas berlakunya kebakaran yang menimpa rumah panjang kami.

“Kami juga ingin memohon bantuan pinjaman pembiayaan penuh kerajaan bagi kami membangunkan semula rumah dengan nilai RM10,000 sepintu,” katanya.

Beliau yang terharu atas pelbagai bantuan yang diberikan mengharapkan pihak berwajib membantu sehingga mereka dapat mendirikan semula rumah mereka.

Pada masa sekarang, mereka tinggal dengan keluarga dan ada yang mendirikan penempatan sementara bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sebelum mendirikan rumah mereka yang baharu.

Hadir sama Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Klien, JKM Sarawak, Penolong Pengarah JKMB, Emilda Piar Kunchui Uli serta Kakitangan JKM Betong.