MPS antara yang terbaik

0

Hubungan rapat dengan rakyat menyumbang kejayaan ini

SIBU: Hubungan rapat antara Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dengan rakyat pelbagai kaum di sini telah menjadikannya antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata hubungan rapat itu telah memudahkan MPS menjalankan tanggungjawabnya serta berkhidmat kepada warga bandar Sibu.

“MPS telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dalam pelbagai proses pembangunan dan perkhidmatan di bandar ini.

“Selain itu, MPS juga menjalin hubungan baik di kalangan pelanggan yang merupakan warga bandar ini.

“Hubungan baik serta rapat dengan pelbagai kaum di sini harus dikekalkan agar MPS dapat mencapai matlamat dan objektifnya sebagai PBT yang mampu menjadi contoh kepada PBT-PBT lain di negeri ini,” katanya semasa merasmikan Hari Bersama Pelanggan MPS di Tingkat Bawah, Wisma Sanyan di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Datu Dr Penguang Manggil, Pengerusi MPS merangkap Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng, Setiausaha MPS Hii Chang Kee, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Rajang Vincent Goh serta para ahli majlis dan kakitangan MPS.

Tema Hari Bersama Pelanggan MPS kali ini ialah ‘Kami Sedia Mendengar dan Membantu Anda’ dan diadakan selama sehari bermula dari jam 10.30 pagi hingga 5 petang.

Katanya MPS turut terlibat dalam pelbagai program komuniti bersama penduduk Sibu seperti Pesta Kebudayaan Borneo dan banyak lagi.

“Menyelami hati rakyat bukannya mudah kerana kehendak rakyat tidak semuanya sama.

“Penglibatan MPS juga dalam pelbagai aktiviti komuniti bersama rakyat di sini antara langkah yang bijak.

“Sambil menyertai aktiviti yang melibatkan rakyat, MPS secara tidak langsung telah mendekati rakyat seterusnya dapat menyelami kehendak rakyat meskipun mengambil masa.

“Pendekatan sedemikian amat digalakkan kerajaan khususnya melibatkan PBT-PBT kerana ia adalah antara kunci PBT rapat dengan rakyat,” tegasnya.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua memberitahu bahawa PBT harus faham dan rapat dengan rakyat kerana cara sedemikian dapat membantu mereka bekerja dengan mudah.

“Seperti MPS, selain rapat dengan rakyat, mereka juga rapat dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini.

“Itulah amalan yang mulia kerana MPS bijak mempelbagaikan hubungan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan menyeru semua kakitangan MPS agar peka dengan masalah rakyat di bandar ini seterusnya menyelesaikannya.

“MPS menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memantau keadaan persekitaran tempat tinggal rakyat dan bandar ini bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa dan harmoni buat semua penduduk di sini.

“Diharap MPS mengekalkan prestasi cemerlang ini demi kesejahteraan warga Sibu,” katanya.