Friday, July 10

Ceroboh: JAKIM saran masjid dan surau adakan solat hajat

0

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyarankan semua pentadbir masjid dan surau serta umat Islam di negara ini menganjurkan solat hajat memohon pencerobohan di Sabah berakhir dengan baik.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha juga menyarankan umat Islam berdoa memohon kepada Allah agar melindungi Lahad Datu dan negara amnya daripada sebarang ancaman yang menjejaskan keselamatan rakyat.

“Marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat secara beramai-ramai dan berdoa agar keselamatan pasukan tentera, polis dan  Pasukan Gerakan Am Malaysia di Lahad Datu dilindungi, hak Malaysia di Lahad Datu dipertahankan dan keamanan Malaysia terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Ulama-Umara di Bangunan Perdana Putera, di sini semalam.

Othman turut menyarankan agar majlis tahlil diadakan untuk wira-wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan berdarah itu.

Beliau berkata, JAKIM juga akan menyediakan khutbah khas yang menyentuh kejadian serangan di Lahad Datu itu untuk solat Jumaat minggu ini. — Bernama