Pasukan keselamatan cuma bertindak terhadap penceroboh

0

LAHAD DATU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mengingatkan masyarakat Sulu di negara ini agar tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang disebarkan oleh pihak tertentu sebagai meniup kebencian terhadap kerajaan.

Menurutnya, pihak pasukan keselamatan cuma bertindak ke atas kumpulan penceroboh dari selatan Filipina yang cuba mengeruhkan keadaan serta menggugat keamanan di negeri Sabah.

“Masyarakat Sulu adalah rakyat negara ini yang terus dilindungi dan kita harap mereka tetap bersama dengan kerajaan demi memastikan kedaulatan negara dipertahankan.

“Sehubungan itu, jangan dengar sebarang khabar angin yang cuba menghasut untuk membenci kerajaan kerana serangan ini dilakukan semata-mata melibatkan kumpulan penceroboh berkenaan,” katanya.

Zahid berkata, fokus pasukan keselamatan negara adalah untuk menangani kes pencerobohan yang dilakukan oleh tentera Sulu di negeri ini dan menangkap saki baki ahli kumpulan itu.

Katanya, sangat berbeza antara puak penceroboh daripada Sulu dengan masyarakat berbangsa Sulu yang merupakan penduduk tetap di negara ini.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul isu bahawa kerajaan akan mengenepikan hak masyarakat Sulu negara ini.