Monday, July 13

Penduduk Lahad Datu kutuk tindakan kumpulan bersenjata

0

LAHAD DATU: Masyarakat pelbagai kaum di daerah Lahad Datu mengutuk tindakan pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari sini.

Mereka berpendapat keengganan kumpulan itu untuk pulang ke negara asal mereka sebagai tidak menghormati usaha aman yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

“Mereka (penceroboh) bukan sahaja telah menyebabkan kematian anggota keselamatan negara yang kami sayangi, tetapi menyebabkan segelintir urusan masyarakat di sini terjejas sedikit,” kata Ketua Daerah Lahad, Sulaiman Atok kepada pemberita di sini.

Beliau juga berharap kira-kira 300,000 penduduk Lahad Datu membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kumpulan itu, yang menggelarkan diri sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu, kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, langkah itu adalah bijak daripada menyebarkan maklumat melalui laman web sosial seperti Facebook yang boleh digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencemaskan masyarakat.

Dalam pada itu, Sulaiman juga meminta pihak berkuasa memandang serius dengan menyiasat khabar angin yang disebarkan.

Pemaju Mukim Segama Eddy @ Hassan Wedley pula tidak menduga keselamatan dan keamanan di Lahad Datu boleh terancam dengan kehadiran penceroboh tersebut.

Beliau berkata semua kawasan Rukun Tetangga di mukim Segama telah meningkatkan rondaan malam bagi mengelak kehadiran orang asing yang akan menggangu ketenteraman di lima kampung di bawah mukim tersebut.

Sementara itu, Penyelia Masyarakat Lahad Datu, Saidin Separudin, meminta agar insiden pencerobohan itu tidak dipolitikkan.

“Ini melibatkan kedaulatan negara. Saya sangat kesal golongan tertentu lebih berminat mempolitikkan isu ini sedangkan keselamatan penduduk di sini terancam, “ jelasnya. — Bernama