Wanita UMNO P.Pinang yakin BN mampu tawan semula Pulau Mutiara

0

GEORGE TOWN: Wanita UMNO Pulau Pinang yakin Barisan Nasional (BN) dapat menawan semula Pulau Mutiara berikutan peningkatan sokongan masyarakat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Wanita UMNO negeri Zabariah Wahab berkata, peningkatan sokongan itu dapat dilihat daripada sambutan masyarakat Pulau Pinang terhadap program anjuran Wanita UMNO.

“Ramai antara mereka sedar akan kesilapan yang dilakukan pada 2008 dan berjanji akan kembali menyokong BN. Wanita Umno Pulau Pinang harap perkara itu akan menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Zabariah berkata, Wanita UMNO Pulau Pinang telah bergerak aktif sejak 2009 dalam menganjurkan pelbagai program untuk masyarakat khususnya di peringkat akar umbi.

“Wanita UMNO Pulau Pinang banyak anjurkan program tinjauan mesra dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Kami juga mengumpul anggota yang ‘kelabu’ untuk ‘diputihkan’,” katanya.

Katanya Wanita UMNO negeri akan berusaha dan bekerja keras memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dimenangi BN sekali gus menawan semula Pulau Pinang.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Norliza Abdul Rahim berkata parti itu telah mengemukakan calon untuk bertanding dalam PRU13 dan pemilihan tertakluk kepada pucuk pimpinan BN.

“Yang penting, Wanita UMNO Pulau Pinang kena bekerja keras dan semua jentera wanita bersedia dengan penyelarasan tugas di kawasan masing-masing. Kita tidak memikirkan calon sangat, kita hanya memikirkan untuk memenangkan BN di Pulau Pinang,” katanya. — Bernama