Nasib bekas pekerja Sanmina-SCI tidak menentu

0

Rundingan antara pekerja yang diberhentikan dengan wakil syarikat gagal capai kata sepakat

KUCHING: Rundingan damai yang melibatkan 820 bekas pekerja syarikat Sanmina-SCI yang diberhentikan kerja pada bulan Oktober tahun lepas dengan wakil syarikat tersebut gagal menemui kata sepakat.

Menurut Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Mohd Ibrahim Hamid, kedua-dua pihak telah mengadakan dua sesi rundingan setakat ini namun masih menemui jalan buntu bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Kami telah mengadakan sesi rundingan damai sebanyak dua kali dengan wakil syarikat Sanmina-SCI namun kami masih belum dapat mencapai kata sepakat daripada kedua-dua pihak,” ujar Ibrahim ketika dihubungi semalam.

Beliau bersama Setiausahanya Andrew Lo mewakili para pekerja pada kedua-dua sesi rundingan dengan wakil syarikat terbabit di pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan yang berperanan sebagai orang tengah.

“Sesi rundingan pertama telah diadakan pada 30 Januari tahun ini manakala sesi kedua diadakan pada 25 Februari lepas.

“Perbincangan utama kami adalah melibatkan jumlah pampasan yang adil yang harus diberikan kepada para pekerja terbabit,” jelas Ibrahim.

Pada penghujung Oktober tahun lepas, syarikat pembuatan peralatan elektronik Sanmina-SCI telah memberhentikan para pekerjanya dalam tempoh yang singkat sebagai langkah penyusunan oleh pihak pengurusan syarikat terbabit.

Namun nilai pampasan yang terlalu rendah telah mengecewakan para pekerjanya yang secara langsung telah meminta campur tangan pihak berkaitan untuk membela nasib mereka.

Akibat insiden tersebut MTUC telah merayu kepada kerajaan agar membantu mencari jalan penyelesaian termasuk mencadangkan untuk mengadakan tabung kecemasan bagi membantu para pekerja yang paling tinggi risikonya untuk diberhentikan kerja.

Sesi rundingan akan disambung tidak lama lagi dan MTUC berharap isu tersebut akan dapat diselesaikan pada pertemuan kali ketiga itu nanti.

Di samping itu Ibrahim turut mengingatkan para majikan supaya mematuhi pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa tahun ini.

“Pihak majikan harus akur kepada perintah tersebut termasuk bagi mereka yang telah mendapat kelulusan bagi penangguhannya juga harus akur apabila tempoh tersebut luput pada hujung bulan ini,” tegas Ibrahim.

Para pekerja turut dinasihati untuk memeriksa sama ada majikan masing-masing telah memohon untuk penangguhannya jika belum melaksanakan perintah tersebut dan melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja jika majikan mereka didapati gagal berbuat demikian.