Friday, September 24

Petronas rangkul Piala Sumbangsih 2013

0
DIPERKENAL: Sebastian (tiga kanan) diperkenalkan kepada pasukan PDRM pada perlawanan Piala Sumbangsih 2013. Turut kelihatan Mohd Saif (dua kanan) di Miri Ahad lalu.

DIPERKENAL: Sebastian (tiga kanan) diperkenalkan kepada pasukan PDRM pada perlawanan Piala Sumbangsih 2013. Turut kelihatan Mohd Saif (dua kanan) di Miri Ahad lalu.

MIRI: Pasukan Petronas yang berjaya menewaskan pasukan PDRM dengan jaringan 1-0 pada perlawanan Piala Sumbangsih 2013 di sini Ahad lalu menandakan bermulanya Liga Petronas 2013.

Sebanyak lapan pasukan terbaik dalam Liga Miri musim lalu akan bertanding semula pada Liga Petronas 2013 dengan menyaksikan perebutan wang tunai RM5,000 dan piala selaku juara liga.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Miri (PBM), Mohd Saif Jubaidi berkata lapan pasukan akan memulakan saingan masing-masing pada Mac ini seterusnya disusuli perlawanan Liga Divisyen 2.

Menurutnya, sebanyak 10 pasukan akan berentap dalam Liga Divisyen 2 dengan menyaksikan lapan pasukan baharu yang akan mencuba nasib untuk merebut slot ke Liga Petronas musim depan.

Tambahnya, PBM mengambil inisiatif memperkenal Liga Divisyen 2 bagi meneruskan kesinambungan program bola sepak secara berterusan bagi kawasan wilayah utara.

“Kita berharap dengan adanya Liga Divisyen 1 dan 2, maka dapat merancakkan pembangunan bola sepak di sini seterusnya mengasahkan lebih banyak bakat baharu,” katanya.

Menurutnya, selain merebut slot ke Liga Petronas musim depan, juara dan naib juara dalam Liga Divisyen 2 secara automatik akan menerima hadiah wang tunai dan piala.

Bagi tempat kedua dalam Liga Petronas 2013 pula akan menerima wang tunai RM3000 bersama piala dan medal manakala masingmasing RM1000 bagi tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting melakukan sepak mula Piala Sumbangsih 2013.