Wednesday, September 18

Buaya Sungai Seblak mengganas lagi, baham nelayan pasang pukat

0

KABONG: Hanya kalimah ‘Ya…Allah’ sahaja yang mampu diucapkan oleh Manja Salman, 29, sebelum hilang di-tarik oleh Sang Bedal ke dasar Sungai Seblak, dalam satu kejadian serangan buaya di Kampung Sessang, di sini malam kelmarin.

T09438

GERAKAN MENCARI: Kelihatan beberapa penduduk kampung bersama pihak polis melancarkan gerakan mencari mangsa serangan buaya di Sungai Seblak.

Sewaktu kejadian, mangsa bersama rakannya, Mahathir Tereng, 17, baharu sahaja hendak memasang pukat.

Menurut Mahathir, kejadian tersebut dianggarkan berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam, di mana air Sungai Seblak pada ketika itu sedang dalam keadaan surut tenang.

“Dalam kejadian tersebut, saya bersama mangsa baharu hendak memasang salah satu pukat yang dibawa dari salah satu lokasi di hadapan kampung.

“Tiba di lokasi kejadian, Manja yang duduk di bahagian hadapan perahu terus melabuh-kan dua pelampung utama pukat, manakala saya duduk bersandar di bahagian belakang pe-rahu sambil mengawal pergera-kan perahu dan memerhatikan mangsa memasang pukat.

“Sedang mangsa leka menurunkan pukatnya, tiba-tiba saya terdengar air berkocak dengan kuat dan berikutan itu, satu lembaga hitam yang amat besar melonjak dari dalam air dan terus menerkam mangsa,” cerita Mahathir ketika ditemui di sini semalam.

Sehingga kini, tujuh orang telah menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Seblak di mana mangsa terakhir pada tahun lalu adalah seorang wanita dari Sungai Anak, Siah Munsong.

Bagi penduduk di Kampung Sessang, Manja adalah mangsa kedua serangan buaya di kampung itu manakala mangsa pertama ialah Mohd Saini.

Menurut Mahathir, dia menganggarkan kepala buaya yang menyerang Manja adalah selebar empat kaki.

“Hanya satu serangan sahaja tanpa menenggelamkan pe-rahu, buaya itu terus menarik Manja ke dalam air.

“Sebaik sahaja buaya itu me-nerkam mangsa, saya sempat menyuluh ke tempat mangsa terjatuh dan saya melihat air di kawasan terbabit berkocak dengan kuat.

“Saya begitu ketakutan dengan kejadian itu, terus meniarap di bahagian tengah perahu dan pada masa sama saya menyeluk poket seluar mengambil telefon dan terus membuat panggilan kepada penduduk kampung untuk memaklumkan kejadian itu dan memohon bantuan mereka,” kata Mahathir.

Tambahnya, selang beberapa minit setelah membuat panggilan telefon, satu kumpulan penduduk kampung datang menyelamatkannya.

Sementara itu, adik mangsa, Zaini Salman, 20, berkata sebelum kejadian tiada sebarang tanda-tanda pelik berlaku kepada abangnya.

“Mangsa menjadikan Sungai Seblak sebagai nadi utama untuk mencari nafkah bagi menyara keluarganya dan melakukan pekerjaan sebagai nelayan sungai.

“Mangsa telah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih kecil dan belum bersekolah dan kejadian ini memberi cabaran hebat kepada keluarga kami,” kata Zaini.

Menurut penduduk kampung, lokasi serangan tersebut adalah satu tempat di mana buaya sering kelihatan dan timbul.

Berdasarkan cerita mereka, buaya terbabit juga sering menjadikan ternakan penduduk seperti ayam dan itik sebagai makanannya.

Rakan mangsa, Jabidi Japar, 34, berkata masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada sungai terbabit umpama meletakkan nyawa mereka di hujung tanduk.

“Kami sedar populasi buaya di sungai ini memang banyak dan keganasan buaya boleh kami letakkan pada kategori yang menggerikan, namun apa boleh buat kerana ini sudah lumrah kehidupan dan kami harus berhadapan dengan cabaran untuk hidup.

“Sehubungan itu, kami memohon pihak berkaitan bertindak segera mengatasi buaya-buaya ini agar tidak terus mengancam kehidupan penduduk.

“Kami tidak tahu sama ada usaha dijalankan oleh pihak terbabit pada tahun lalu yang berobjektif mengurangkan populasi buaya di sungai ini dan mengatasi buaya bermasalah itu berjaya membuahkan hasil atau tidak.

“Tetapi apa yang pasti berdasarkan kejadian itu, hidup masyarakat yang bergantung kepada sungai masih lagi terancam dan belum menemui jalan penyelesaian,” kata Jabidi.

Sementara itu, dalam tinjauan ke kampung terbabit semalam mendapati usaha mencari mangsa terus dijalankan melibatkan kerjasama penduduk kampung, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Saratok, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA).