Khalid nafi dakwaan beberapa pendaratan di pantai Sabah membabitkan penceroboh

0

KUCHING: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan beberapa pendaratan di pesisiran pantai Sabah baru-baru ini membabitkan penceroboh dari luar.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati beberapa pendaratan di pesisiran pantai Sabah hanyalah pergerakan biasa masyarakat tempatan di situ.

Menurutnya sebagai langkah berjaga-jaga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meningkatkan kewalan serta kehadiran di seluruh negeri Sabah khususnya di pantai timur serta pulau-pulau berhampiran.

“Saya pasti keselamatan seluruh negeri Sabah terjamin,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian DSP Michael Padel, 36, di Makam Pahlawan di sini semalam.

Mendiang terkorban dalam insiden serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna Sabah pada Sabtu lepas (2 Februari 2013).

Khalid juga memberitahu, Operasi Daulat di Lahad Datu yang memasuki hari kedua semalam berjalan lancar bagaimanapun tidak dapat memberi maklumat terkini kepada media atas sebab-sebab tertentu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara diragui agar menyalurkan terus kepada Bilik Gerakan Polis di Sabah bukannya menghebahkannya dalam media sosial kerana tindakan itu hanya akan menggemparkan orang ramai.

“Kalau kami mendapati ada ‘duri dalam daging’ kami akan mengambil tindakan tegas dan nasihat saya mereka yang gemar menyebarkan khabar angin khususnya dalam media-media sosial supaya menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” ujarnya.