24 pasukan berentap saingan futsal Limbang

0

LIMBANG: Hadiah keseluruhan bernilai RM2,300 ditawar kepada pemenang kejohanan futsal anjuran Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) yang diadakan selama dua hari di Stadium Tertutup Limbang pada 9 dan 10 Mac ini.

Pengerusi pertandingan, Bulhaji Wahab memberitahu kejohanan itu merupakan kali pertama anjuran LFA bagi mencari juara untuk mewakili Limbang pada kejohanan Futsal Piala Sarawak yang akan diadakan pertengahan tahun ini.

Katanya, LFA turut mensasarkan sebanyak 24 pasukan dari daerah Limbang dan Lawas berentap pada kejohanan itu.

Setakat ini, sebanyak 16 pasukan sudah mengesahkan diri untuk menyertai kejohanan itu.

“Juara bakal menerima wang tunai berjumlah RM1,000, manakala naib juara membawa pulang RM700, tempat ketiga menerima RM400 dan RM200 diberikan kepada pasukan di tangga keempat,” katanya di sini semalam.

Bulhaji yang juga Penolong Setiausaha LFA berkata, Limbang mempunyai ramai pemain bukan sahaja dalam sukan bola sepak tetapi juga dalam sukan futsal.

“Kita yakin dengan adanya kejohanan ini ramai pemain dapat menonjolkan bakat mereka sekali gus memeriahkan sukan futsal di sini.

“Malah, sambutan yang terima setakat ini menunjukkan sukan futsal mempunyai rami penyokong dalam setiap kali kejohanan diadakan,” jelasnya.

Beliau berkata, kejohanan ini turut menyaksikan kelainan tersendiri dengan mewajibkan setiap pasukan menyertakan dua pemain berusia 20 tahun ke bawah.

“Kita menyeru orang ramai khususnya peminat sukan futsal untuk menyertai sekali gus memeriahkan kejohanan tersebut yang berlangsung hujung minggu ini,” katanya.