Kemarau kemenangan berakhir

0

Skuad Piala Presiden Sarawak raih tiga mata pertama apabila menundukkan Perlis 2-0

REMBAT: Eugene merembat gol pertama Sarawak pada perlawanan Piala Presiden 2013 menentang Perlis di Stadium Negeri semalam. Sarawak menang selesa 2-0. — Gambar Chimon Upon

REMBAT: Eugene merembat gol pertama Sarawak pada perlawanan Piala Presiden 2013 menentang Perlis di Stadium Negeri semalam. Sarawak menang selesa 2-0. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak menamatkan kemarau kemenangan setelah menang selesa 2-0 dengan menundukkan Perlis di Stadium Negeri, di sini petang semalam.

Pemain gantian, Eugene Thompson Thomas muncul wira skuad muda Ngap Sayot dengan menyumbat dua gol pada minit ke-52 dan ke-76.

Bagaimanapun, Sarawak terpaksa menunggu separuh masa kedua untuk merobek gawang pasukan pelawat (Perlis) yang dikawal cemerlang oleh Kamarul Hilmi Adenan.

Pada separuh masa pertama, permainan nampak seimbang dengan kedua-dua pasukan tampak buntu untuk mencari gol awal.

Pemain-pemain Sarawak jelas ghairah memburu jaringan, namun gagal menterjemahkan setiap peluang yang diperolehi.

Kemasukan Eugene sebaik babak kedua bermula mengubah rentak permainan pasukan tuan rumah dengan penyerang lincah itu banyak mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan Singa Utara.

Kerja keras pemain itu akhirnya membuahkan hasil setelah beliau bijak mengelecek dua pertahanan Perlis sebelum menyumbat mudah bagi menewaskan Kamarul untuk gol pertama.

Jaringan itu menyemarakkan semangat Sarawak yang terus bertubi-tubi membedil kubu Perlis, namun dihampakan oleh pertahanan anak-anak buah, Jafelus Jahit.

Perlis akhirnya akur dengan hasrat Sarawak untuk memburu tiga mata pertama dengan jaringan kedua menerusi Eugene pada minit ke-76.

Ketua Jurulatih, Mohd Farhan Abdullah lega dengan kemenangan tersebut berkata kejayaan itu pasti menyuntikkan semangat perjuangan tinggi anak-anak buahnya untuk terus memburu kemenangan.

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan apa yang pemain tunjukkan pada hari ini.

Mereka bermain dengan baik dan mengikut apa yang telah diarahkan.

“ Saya harap mereka aka n mengekalkan prestasi dan momentum yang sama pada perlawanan-perlawanan lain,” katanya ditemui selepas perlawanan semalam.

Komen sama diluahkan oleh Pengurus Pasukan, Haidel Heli sambil berharap semua pemain terus meningkatkan usaha dan memperbaiki permainan masing-masing.

Beliau turut gembira dengan prestasi ditunjukkan oleh Eugene yang juga penjaring terbanyak Sarawak ketika ini.

Sarawak mengumpul empat mata setelah mengharungi lapan perlawanan.

Mereka akan menjadi tetamu Kedah di Stadium Darul Aman , Alor Setar pada Isnin depan.