Monday, June 7

Status 13 acara belum selamat

0

KUCHING: Pengarah Ma­jlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Francis Nyurang berkata, kedudukan 13 acara yang telah tersenarai untuk bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) XVI masih belum sela­mat.

Katanya, jumlah tersebut mungkin berkurangan jika prestasi beberapa acara tidak menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam waktu terdekat.

“Kita (MSNS) akan men­gadakan perjumpaan pada 30 April depan bagi membuat pemilihan terakhir acara yang akan disertai pada SU­KMA XVI.

“Jika ada acara yang tidak menunjukkan peningkatan, ia mungkin digugurkan dari senarai kontinjen. Kita tidak mahu melakukan pem­baziran dengan menghantar acara yang tiada harapan un­tuk meraih pingat,” katanya semalam.

Menurut Francis, biarpun kontinjen negeri tidak me­letakkan harapan tinggi pada edisi kali ini, ia bukan lesen untuk pasukan yang dihantar bertanding bersikap sambil lewa.

Katanya, MSNS terus me­mantau prestasi semasa pasu­kan bagi memastikan mereka benar-benar mantap dan ber­sedia untuk bertanding.

“SUKMA bukanlah medan untuk pendedahan dan neg­eri-negeri lain akan meng­hantar atlet terbaik mereka bagi memburu pingat emas.

“Justeru, saya mahu kon­tinjen negeri meningkatkan usaha masing-masing dan berusaha memperbaiki pen­capaian yang kita lakukan pada 2011.”

Dalam pada itu, Francis menetapkan acara kabaddi tidak akan dihantar bertand­ing pada SUKMA kali ini.

Menurutnya, sukan itu masih terlalu baharu dan Sarawak masih belum berse­dia untuk menyertainya.

Sarawak dijangka men­gambil bahagian dalam 13 daripada 20 acara yang dipertandingkan pada SU­KMA XVI Kuala Lumpur dari 28 Jun hingga 7 Julai 2013.

Acara yang disertai kon­tinjen negeri termasuk bola tampar dewan (wanita), judo, pingpong dan gimnas­tik artistik (kategori A).

Kategori B pula futsal (lelaki), bola tampar de­wan (lelaki), lawan pedang, muaythai dan bina badan.

Manakala kategori C mem­babitkan bola baling (lelaki), bola keranjang (lelaki/wan­ita), kriket, sofbol (lelaki/wanita) dan ragbi.

Pada SUKMA 2011, Sarawak menduduki tangga ke-12 dengan memperolehi dua pingat emas, empat perak dan lapan gangsa.

Emas disumbangkan oleh pingpong dan judo.