BN janji masyarakat Cina di Kedah akan nikmati kehidupan lebih baik

0

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah menjanjikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat Cina terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan sekiranya diberi mandat mentadbir negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ekonomi negeri ini akan diperkasakan supaya penjanaan pendapatan para peniaga dapat ditingkatkan.

Katanya, BN akan lebih agresif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dan melaksanakan projek pembangunan supaya kitaran ekonomi berjalan lancar dan kemakmuran eknonomi dapat dirasai semua pihak.

“Begitu juga dalam bidang pendidikan, seperti pembangunan Sekolah Cina, kami akan teruskan bantuan kepada sekolah-sekolah Cina seperti yang kami lakukan selama ini.

“Saya memahami, bahawa kita semua menderita di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak ada idea bagaimana menjana ekonomi, oleh itu saya pohon seluruh masyatakat Cina menaruh penuh keyakinan kepada BN,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata, beliau bersama kepimpinan BN Kedah yang lain sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa kembali kemenangan kepada BN dan terus mempertahankan Putrajaya.

“BN mahu kembalikan Kedah kepada landasan yang betul, jadi kita harus bersama menyelamatkan Kedah daripada terus diperintah Pakatan Rakyat yang sememangnya telah gagal. Tidak ada sebab kita hendak terus memberi peluang kepada parti yang gagal memerintah dengan baik.

“Untuk seluruh masyarakat kami menjanjikan pentadbiran yang lebih baik, pentadbiran yang lebih cekap, ini janji kami, ini adalah iltizam kami. Ini bukan satu omongan kosong, ini adalah janji yang pasti kami tunaikan,” katanya.

Beliau berkata, BN akan terus meningkatkan kekuatan ekonomi Kedah supaya masyarakat terus mendapat kenikmatan dan merancakkan kembali projek pembangunan yang menawarkan lebih banyak peluang perniagaan serta pelaburan.

“Bagi masyarakat Cina, yakinlah bahawa sektor pendidikan kaum Cina akan kita bantu. Kerajaan tidak akan melupakan sumbangan bidang pendidikan kerana ia adalah adalah pelaburan yang paling penting bagi sesebuah negara,” katanya. — Bernama