BN masih pemerintah, bukan k’jaan sementara

1

KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyangkal kenyataan beberapa pihak menerusi media alternatif yang mengatakan Barisan Nasional (BN) mulai hari ini merupakan kerajaan sementara.

Menurutnya, kiraan ‘lima tahun’ sebagai pemerintah sahih bermula dari tarikh persidangan pertama Parlimen dan bukan tarikh pilihan raya yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak terbabit.

“Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menentukan sama ada hari pertama persidangan itu atau hari akhir persidangan, maka kebijaksanaan menentukan ialah bermula pada tarikh akhir persidangan pertama,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata lagi, tarikh akhir persidangan pertama ke-12 ialah pada 28 April 2013.

Katanya, apabila 28 April 2013, Parlimen akan automatik terbubar pada 29 April 2013 pada jam 12.01 tengah malam.

Justeru, katanya, mulai tarikh itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan urusan berkaitan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

“Dari jam dan tarikh itu juga baharulah bermula ‘caretaker government’,” katanya.

Kelmarin, peguam Tommy Thomas dipetik menerusi portal Malaysiakini berkata, sesi Parlimen kali ini akan berakhir pada 28 April dan Pilihan Raya Umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, iaitu sebelum 28 Jun.

Katanya, sekiranya pentadbiran BN ingin mengekalkan tradisi untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri dan Parlimen serentak, maka Parlimen perlu dibubarkan awal sebelum 26 Mei.