Dasar pendidikan saksama beri peluang wanita bangunkan diri

0

SIBU: Dasar negara yang adil dan saksama dalam bidang pendidikan kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama memberi peluang kepada kaum wanita untuk menimba ilmu pengetahuan.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, pendidikan membantu manusia membuka minda dalam menambah keupayaan dan intelek serta menambah baik kemahiran sedia ada.

“Selain itu, pendidikan turut memberi kita kelayakan dan keyakinan diri untuk lebih berani tampil ke hadapan untuk memberikan sumbangan dalam apa jua bidang yang boleh kita lakukan.

“Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata, sesebuah negara yang mempunyai tahap pendidikan yang cemerlang, negara itu mampu menjadi sebuah negara yang kaya. Ini menunjukkan pendidikan memainkan peranan penting.

“Maka, golongan wanita kini telah membuktikan keupayaan dalam memberi sumbangan kepada aspek pembangunan negara dengan mendapat peluang yang sama rata dalam pendidikan,” jelasnya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti.

Wong berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam SUPP Wanita Cawangan Sibu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Lanang merangkap Setiausaha SUPP Cawangan Sibu Datuk Tiong Thai King, Temenggung Vincent Lau Lee Ming dan pengerusi pengelola Datuk Betty Wong.

Wong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Sibu memberitahu, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin dalam aspek kebajikan golongan wanita dalam merencanakan pelan transformasi negara.

“Perdana Menteri telah meletakkan aspek kebajikan golongan wanita penting dalam pelan transformasi negara dengan memperuntukkan bajet dalam program kesihatan wanita dan menggalakkan kaum wanita dalam bidang ekonomi.

“Ini membuktikan kerajaan BN sentiasa menitikberatkan kaum wanita malah turut mengiktiraf wanita dengan pelantikan kaum wanita memegang jawatan tertinggi dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan kemasyarakatan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Wanita SUPP Cawangan Sibu Kapitan Datuk Janet Lau dalam ucapan alu-aluannya menyeru ahli-ahli wanita SUPP agar terus memberikan sokongan kuat kepada kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Saya berharap kita (ahli-ahli SUPP Wanita) dapat bekerjasama dan membantu dalam memastikan BN terus cemerlang pada PRU13 dan menyokong mana-mana calon BN.

“Selain itu, amat diharapkan kaum wanita dapat terus bersatu hati dan memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada pembangunan negara,” jelas beliau.