Freddy mulakan musim 2013 di tangga keempat

0

KUCHING: Pelumba go-kart profesional Freddy Lawan memulakan Cabaran Malaysia Rotaxmax (RMC) musim 2013 dengan bergaya pada Sirkit Kart Antarabangsa Sepang minggu lepas.

Beliau menamatkan pusingan pertama di podium setelah menduduki tempat keempat dalam kategori Masters DD2 di belakang Kelvin Choo, Raymond Kong Chun Keat dan Jeremy Nyam.

Pelumba antarabangsa itu bagaimanapun agak kecewa kerana beliau yakin dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan yang lebih baik jika enjin jenteranya tidak mengalami masalah.

“Saya bermula dengan baik di peringkat saringan dan pra final.

Di peringkat final, enjin saya ‘overflow’ dan meragam.

Ia menyebabkan saya mudah dipintas oleh pelumba lain.

Namun, saya berjaya mengekalkan momentum untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat,” katanya.

Keputusan pusingan pertama itu memuaskan Freddy kerana beliau tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.

“Saya tidak menjangkakan keputusan yang baik kerana tidak menjalani latihan dan tidak berada dalam prestasi terbaik,” jelas pelumba dari Kuching itu.

Ia merupakan podium kedua buat Freddy setelah beliau turut menamatkan perlumbaan di kedudukan sama pada Perlumbaan Jemputan Rotax Malaysia di Sepang pada Januari lepas.

Setelah berakhir pusingan pertama, Freddy berada di ranking keempat dengan mengumpul 75 mata, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Kelvin Choo.

Raymond Kong yang mengumpul 77 mata berada di kedudukan kedua manakala Jeremy di kedudukan ketiga dengan 76 mata.

“Saya hanya akan berlumba dalam kategori Masters DD2 kerana mahu memberi tumpuan untuk mendapatkan tiket ke perlumbaan akhir yang akan diadakan di New Orleans, Amerika Syarikat,” jelas Freddy.

Bagi merealisasi impian itu, Freddy akan meningkatkan prestasi dan berusaha untuk menamatkan saingan di kedudukan dua terbaik bagi melayakkannya secara automatik ke perlumbaan itu.

“Peluang untuk berlumba di perlumbaan akhir lebih terbuka pada tahun ini kerana penganjur menyediakan dua slot bagi RMC dan Cabaran Max Asia (AMC),” jelas beliau.

Menurut Freddy lagi, beliau yakin dapat memperomosi Sarawak di mata dunia sekiranya dapat melayakkan diri ke perlumbaan akhir itu nanti.

Pada tahun lepas, beliau mengharumkan nama Malaysia setelah layak ke perlumbaan akhir Cabaran Rotax Max yang diadakan di sirkit Antarabangsa Algarve Portimao, Portugal.

Pusingan kedua RMC dan AMC akan diadakan di Sirkit Kart Antarabangsa Sepang pada 4-5 April depan.