Jelaing calon paling sesuai bagi Saratok

0

SARATOK: Tiada calon yang lebih sesuai untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Saratok selain Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Saratok Jelaing Mersat, kata para perwakilan daria Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dari Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Kalaka dan N.34 Krian kepada pemberita, semalam.

Setiausaha SPDP Cawangan Krian, Kaunselor Noel Tom berkata, suara akar umbi jelas menunjukkan rakyat masih lagi memerlukan khidmat daripada Jelaing untuk menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Semua perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak, baik di peringkat mesyuarat parti mahupun pandangan ramai. Sehubungan itu, isu yang mengatakan adanya calon lain untuk menggantikan beliau (Jelaing) sepatutnya tidak timbul.

“Melalui peluang ini, kita ingin menegaskan bahawa kita tidak akan bersetuju dan menerima sebarang pencalonan lain di kawasan ini selain daripada beliau untuk bertanding pada PRU13 nanti.

“Kita tahu prestasi beliau pada selama ini, di mana beliau telah banyak membawa perubahan dan kemajuan kepada masyarakat kita di kawasan ini.

“Kenapa kita hendak menukar seorang pemimpin yang betul-betul komited dengan tugasnya dengan seseorang yang tidak pasti akan prestasinya,” kata Noel kepada pemberita pada sidang media di Pejabat SPDP Cawangan Saratok, semalam.

Tambahnya, pihak mereka tidak akan setuju dan menyokong mana-mana calon lain selain Jelaing pada PRU13 nanti.

“Di sini kita ingin mengatakan pendirian kita, sekira calon lain ditampilkan pada PRU13 nanti, pihak kita ada dua pilihan sama ada tidak memberikan apa-apa sokongan ataupun melakukan tentangan.

“Usaha ini jelas bagi membuktikan bahawa peletakan calon lain membelakangkan keputusan peringkat akar umbi dan tidak akan dipersetujui oleh pihak kita selaku masyarakat setempat,” jelas Noel.

Sementara itu bagi, Ketua Wanita SPDP N.34 Krian, Dius Kusam pula berkata, masyarakat harus sedar bahawa pembangunan tidak boleh wujud dengan serta-merta.

“Ia memerlukan beberapa peringkat yang meliputi jangka panjang dan jangka pendek, agar kesan daripada pembangunan tersebut mampu dinikmati secara positif oleh masyarakat dan bukannya memberikan impak yang negatif,” katanya.

Serentak itu, seramai 20 perwakilan SPDP yang mewakili masyarakat dari DUN N.33 Kalaka dan N.34 Krian turut mempersetujui pendapat tersebut sekali gus sokongan penuh bagi pencalonan Jelaing sebagai calon BN pada PRU13 yang akan datang.