Monday, December 9

Keputusan Najib disokong penuh

0

Sarawak berdiri teguh usaha PM pertahan kedaulatan negara: Jabu

Oleh Rusnan Mustafa

KUCHING: Sarawak menyokong sepenuhnya segala usaha dan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani masalah di Lahad Datu, Sabah.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang memberitahu Sarawak akan sentiasa berdiri teguh di belakang Najib untuk mengekalkan kedaulatan dan keamanan negara.

“Kita di Sarawak sentiasa berdiri teguh untuk memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada apa jua keputusan yang dibuat PM dalam menangani pencerobohan di Lahad Datu, Sabah demi keamanan dan kedaulatan negara tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran ‘Karnival MyGreen’ di pekarangan Taman Pertemuan (Le’Park) Kuching, semalam.

Pada masa yang sama, Jabu turut menyifatkan pengganas Sulu sebagai punca ‘pencemaran alam’ yang menjejaskan keindahan dan kedamaian Malaysia khasnya di Sabah.

Selain itu, beliau berkata, segala perancangan pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini mengambil kira faktor pencemaran alam sekitar.

“Apa yang dibangkitkan oleh pihak tertentu bahawa pembangunan di negeri ini tidak mengambil kira pencemaran alam adalah tidak benar.

“Kerajaan telah meneliti dan mengkaji sesuatu pembangunan sebelum ia dilaksanakan agar tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar di Sarawak,” jelasnya.

Menyentuh mengenai karnival itu, beliau memberitahu masyarakat harus sedar tentang pentingnya menjaga dan memelihara khazanah alam sekitar di negeri ini.

Disebabkan itu, katanya, kerajaan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa program di peringkat sekolah bagi mendidik dan melahirkan generasi muda yang cintakan alam sekitar.

“Malah, kita berharap agar setiap lapisan masyarakat, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan industri bersama-sama menjaga alam sekitar agar Malaysia khasnya Sarawak kekal kehijauannya,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui semasa berucap berkata, kerajaan memandang serius terhadap isu-isu alam sekitar yang menyumbang kepada masalah utama alam sekitar.

“Justeru, karnival hari ini (semalam) yang bertemakan ‘MyGreen’ dapat mempromosi dan mendidik masyarakat agar lebih menghargai alam sekitar serta mempraktikkan amalan dan budaya hijau,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga memastikan sokongan berterusan diberikan kepada segala bentuk kerjasama di antara institusi luar dan tempatan dalam melaksanakan kajian ke atas pembangunan teknologi hijau.

Pada karnival itu juga, tarian Ngajat Iban mencatatkan sejarah baharu apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records setelah mencatatkan jumlah peserta paling ramai menari tarian itu semalam.