Saturday, July 20

Kompleks Sukan Komuniti Mukah diserah secara rasmi kepada KBS Sarawak

0

MUKAH: Kompleks Sukan Komuniti (KSK) bernilai RM2.8 juta diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sarawak oleh Pejabat Wilayah Tengah Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Strategik) KBS Malaysia Datuk Jamil Salleh berkata, kompleks tersebut siap mengikut jadual, malah menjadi satu sejarah apabila siap sehari lebih awal sebelum tarikh sebenar.

“Kerjasama yang erat dan berpasukan antara kontraktor Sarwaga Sdn Bhd dari Sarikei, Pejabat Residen, JKR dan SESCo merealisasikan pembinaan kompleks ini.

“Kompleks ini memerlukan pengurusan yang baik dan teratur bagi mengelak vandalisme dan insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya pada pada majlis itu.

Selain gelanggang utama futsal, kompleks itu juga mempunyai empat gelanggang masing-masing untuk permainan badminton dan sepak takraw serta sebuah gelanggang bola jaring di bawah satu bumbung.

Namun, gelanggang bola keranjang dan bola tampar dibatalkan kerana kompleks itu dibina mengikut spesifikasi gelanggang futsal.