KPM platform terbaik cari bakat muda

0

KUCHING: Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Abdillah Adam berkata Kejohanan Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah platform terbaik untuk melahirkan pemain-pemain muda berbakat.

Katanya, pemain muda yang lahir dari kejohanan tersebut dapat dipilih untuk mewakili Sarawak di kejohanan peringkat yang lebih tinggi kelak.

“Liga KPM ini sangat baik kerana ia dapat memberi pendedahan awal kepada pemain- pemain muda sebelum mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

” Abdillah berkata demikian semasa menghadiri perlawanan antara Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya dan Sekolah Sukan Wilayah Persekutuan, SMK Seri Titiwangsa di Stadium Mini Tabuan Jaya.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih terhadap KPM dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mewujudkan kejohanan ini,” ujarnya.

“Ia perlu diteruskan bagi memastikan negara kita tidak ketandusan pemain-pemain bola sepak yang berkualiti di masa hadapan.

” Sementara itu, skuad bawah 14 tahun SMK Tabuan Jaya menundukkan SMK Seri Titiwangsa 1-0 pada perlawanan Liga Super KPM semalam.

Gol SMK Tabuan Jaya dijaringkan oleh Zharif Yasin Nasruddin pada minit ke-68.

Manakala dalam pertembungan Liga Remaja KPMFAM, skuad bawah 17 tahun SMK Tabuan Jaya sekadar seri tanpa jaringan dengan SMK Seri Titiwangsa.

SMK Tabuan Jaya akan meneruskan perjuangan menentang SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SSN Kedah) pada 16 Mac dan SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) pada 19 Mac depan.