Pertimbang penghargaan kepada media bertugas di Lahad Datu: Zahid

0

SUNGAI PETANI: Petugas media yang membuat liputan sepanjang insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, akan dipertimbangkan untuk diberi sijil penghargaan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata secara peribadi beliau cukup menghargai peranan petugas media yang berada di FELDA Sahabat, Lahad Datu, walaupun berada dalam keadaan tidak selesa.

“Mereka berada di ground zero, tidak cukup kemudahan, tidak ada penginapan selesa ataupun makanan yang enak seperti biasa. Lebih daripada 100 petugas media berada di sana.

“Mereka ini, saya cadangkan selepas semuanya tamat, setiap petugas media yang terlibat di sana dianugerahkan sijil oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan bersama Warga 6 Briged sempena Perbarisan Pemakaian Pangkat, di Kem Lapangan Terbang, dekat sini semalam.

Ahmad Zahid berkata selain beliau, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, merupakan antara nama yang akan dicadangkan untuk menandatangani sijil penghargaan itu.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemakaian pangkat 183 anggota berpangkat prebet yang dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal. — Bernama