S’wak kempunan singgahsana

0

Hasrat rampas liga tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah

UNTUK PERWIRA: Pemain Sarawak dan Sabah memberi penghormatan kepada pasukan keselamatan yang terkorban di Lahad Datu sebelum perlawanan dimulakan.

UNTUK PERWIRA: Pemain Sarawak dan Sabah memberi penghormatan kepada pasukan keselamatan yang terkorban di Lahad Datu
sebelum perlawanan dimulakan.

KUCHING: Hasrat Sarawak untuk mengecapi singgahsana Liga Perdana masih tidak kesampaian apabila mereka sekadar seri tanpa jaringan dengan musuh setempat Sabah di Stadium Negeri kelmarin.

Keputusan itu mengekalkan mereka di kedudukan kedua setelah pendahulu liga Sime Darby turut mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pos Malaysia pada perlawanan sebelumnya.

Sebelum perlawanan bermula, pemain dan penonton memberi penghormatan kepada pasukan keselamatan yang terkorban di Lahad Datu, Sabah.

Biarpun tanpa jaringan, lebih 20,000 penonton yang membanjiri stadium terhibur dengan aksi serang-menyerang dari kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit.

Ketua Jurulatih Robert Alberts menukar strategi dengan meletakkan ayam tambatan Ivan Babic di posisi sayap kiri bagi menggantikan Azizan Saperi.

Pasukan tuan rumah seharusnya mendahului seawal minit ketujuh andai gerakan satu dua Babic dan Azizan Baba disempurna kemas oleh penyerang import itu di dalam petak penalti.

Bobby Gonzales turut berpeluang merobek gawang bekas pasukannya pada minit ke-18.

Pemain jersi No.

9 itu berjaya menggelecek tiga pertahanan Sabah namun gagal melepasi penjaga gol Shahril Sa’ari yang menampan tepat bola rembatannya.

Pada minit ke-24, bekas pemain kebangsaan Zainizam Marjan berjaya melepasi pertahanan Sarawak namun ledakannya dari luar petak penalti sekadar sipi.

Sarawak terus buntu mencari gol awal pada babak kedua biarpun menguasai hampir keseluruhan permainan.

Minit ke-68 menyaksikan Bobby terlepas bola hantaran cantik Babic setelah pemain itu bijak meloloskan diri di penjuru kiri kawasan Sabah.

Joseph Ka l ang turut mengerah keringat dalam usaha membantu pasukannya memburu gol pertama.

Namun, ledakan pada minit ke-75 sekadar sipi di kiri pintu gol Sabah setelah beliau menerima umpanan cantik dari Guy Bwele.

Pemain import Sabah dari Ivory Coast Koh Trore gagal membantu pasukannya apabila dikawal ketat oleh Ronnie Harun dan Hairol Mokhtar.

Alberts berkata, pemain Sarawak harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan deretan peluang untuk mencipta jaringan.

“Pemain kita agak tertekan dan tidak tenang terutama ketika berada di hadapan pintu gol lawan,” jelas Alberts.

“Kita telah mencuba dengan bersungguh-sungguh namun faktor tekanan untuk menjaringkan gol menyebabkan pemain gagal mengawal permainan.

” Alberts bagaimanapun memuji barisan pertahanan Sabah yang mampu bertahan menahan serangan bertali arus anak-anak buahnya.

“Ia perlawanan yang cukup menarik dan menghiburkan… penuh dengan aksi serang menyerang dari kedua-dua pasukan,” katanya.

Menurut Alberts, biarpun kecewa kerana gagal mengambil alih kedudukan selaku pendahulu liga, beliau tetap berpuas hati kerana skuadnya masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Sarawak akan melayan kunjungan Kedah tiga minggu dari sekarang (29 Mac) sebelum pusingan pertama Liga Perdana ditutup selama dua minggu.