Usah guna pembangkang untuk kemuka pandangan

0

KUCHING: Rakyat tidak perlu menggunakan pihak pembangkang untuk mengemukakan cadangan atau pandangan kepada kerajaan sekiranya wujud sebarang kelemahan dan kekurangan dalam pimpinan serta dasar yang dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng berkata, sebaliknya rakyat itu sendiri perlu tampil ke hadapan untuk mengemukakan sebarang cadangan atau pandangan tersebut.

Beliau menjelaskan ini kerana kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan menerima sebarang cadangan dan pandangan daripada rakyat.

“Oleh itu, masyarakat boleh mengemukakan pendapat dan cadangan kepada kerajaan sekiranya wujud sebarang kelemahan atau kekurangan dalam pimpinan serta dasar yang dilaksanakan.

“Namun, segala teguran dan cadangan haruslah dibuat mengikut saluran yang baik dan bersifat konstruktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Gerak Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Balai Raya Skim Penempatan Semula Stapok dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Yong berkata rakyat hendaklah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dengan berfikiran logik dan rasional.

“Dengan kerjasama dan semangat perpaduan yang kukuh daripada rakyat Malaysia dapat mencapai kemajuan yang pesat dan makmur pada masa hadapan,” tambahnya.

Pada majlis itu juga, Yong mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10,000 untuk melengkapkan kemudahan di Balai Raya Skim Penempatan Semula Stapok.

Hadir sama wakil Pengarah KEMAS Salleh Kabe, Ketua Kaum James Ranggi Setang, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang dan tetamu kehormat lain.