Sunday, June 20

BN Selangau miliki mekanisme tangani cubaan membeli undi

0

SIBU: Barisan Nasional (BN) di Selangau mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani cubaan membeli undi oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu.

Katanya beliau ada menerima maklumat daripada tuai-tuai rumah panjang bahawa JKKK mereka telah didatangi individu meminta butir-butir akaun bank mereka.

“Saya difahamkan mereka mempunyai niat untuk membeli undi pada PRU13 nanti.

“Seandainya maklumat tersebut benar, ini menunjukkan pembangkang begitu terdesak dalam usaha mereka meraih sokongan,” katanya.

Menurut Entulu, pihaknya bagaimanapun tidak bimbang dan tergugat dengan usaha sedemikian.

Malah, ujar beliau pihaknya mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani isu berkenaan.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya tunjang utama Parti Pekerja Sarawak (SWP) Datuk Sng Chee Hua akan bertanding di kerusi Parlimen Selangau, Joseph yang merupakan penyandang kerusi berkenaan memberitahu bahawa beliau bersedia berdepan dengan pencabarnya.

Katanya beliau mengalu-alukan cabaran tersebut malah jentera BN Selangau berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi tentangan mana-mana pihak yang berminat bertanding di kerusi Parlimen Selangau.

SWP dikhabarkan bertanding di keenam-enam kerusi Parlimen milik PRS.

Ini termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng yang disebut-sebut bertanding di Lubuk Antu.

ADUN Meluan Wong Judat yang mengumum keluar daripada SPDP tahun lalu dikhabarkan berhasrat bertanding di kerusi Parlimen Julau manakala ADUN Pelagus di Hulu Rajang.

Walaupun berulang kali mengisytiharkan mereka mesra BN, SWP tetap dengan pendirian untuk bertanding di kerusi milik PRS.

Entulu yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, memberitahu bahawa beliau kini berada dalam prestasi terbaik untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau membayangkan akan wujud pertandingan tiga penjuru di Selangau apabila PKR turut menyatakan kesungguhan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Jelas Entulu, PKR dijangka cenderung kepada isu-isu tidak benar selain membangkitkan sentimen kebencian dan menghasut rakyat menentang kerajaan.