Bumiputera harus ceburi keusahawanan

0

KUCHING: Masyarakat Melayu dan Bumiputera dinasihati agar tidak bergantung kepada bekerja dengan kerajaan sahaja sebaliknya bekerja sendiri dengan menceburi bidang keusahawanan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keusahawanan merupakan alternatif untuk melangkah ke depan yang lebih terjamin jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Justeru beliau menggesa anak-anak Melayu dan Bumiputera tidak hanya mengharapkan pekerjaan dalam kerajaan sebaliknya menggunakan sebaiknya kemudahan holistik yang disediakan oleh kerajaan dalam membantu para usahawan tempatan.

“Apabila kita bercakap mengenai keusahawanan, kita tidak boleh menunggu sebaliknya kita yang harus mencari peluang pasaran dan apa yang dimahukan dalam pasaran.

“Sebagai contoh, mengapa telefon bimbit jenama Nokia sering bertukar model? Ini adalah didorong oleh pasaran permintaan.

“Kita mempunyai pegawai-pegawai MARA (Majlis Amanah Rakyat)  yang mungkin ada maklumat yang kita tidak ketahui dan janganlah malu bertanya kepada mereka mengenai peluang-peluang dan kemudahan-kemudahan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Halal Park MARA dan KIMFEST Demak Laut di Kawasan Industri MARA (KIM) Demak Laut di sini semalam.

Bagi pihak usahawan-usahawan KIM Demak Laut dan penduduk sekitar, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berterima kasih kepada MARA dan Halal Industry Development Corporation (HDC) yang telah membawa industri halal ke kawasan Santubong.

Sebelum ini menurutnya, masyarakat umum bercakap mengenai Hab Halal Tanjung Manis tetapi kini industri halal turut diusahakan di kawasan Santubong.

“Saya mahu lihat usahawan-usahawan di sini terlibat dalam industri halal ini sehingga ke pasaran global yang berpotensi besar untuk dibangunkan,” katanya sambil menambah, Malaysia mengambil jalan yang tepat menceburi industri ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad berkata MARA tidak hanya memastikan setiap usahawan mendapat pensijilan halal malah turut menyediakan kemudahan pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, sokongan pembangunan syarikat dan pemasaran dan sebagainya.

Penglibatan MARA dengan HDC dalam Halal Park adalah salah satu usaha untuk memantapkan lagi penglibatan usahawan Bumiputera di arena industri halal antarabangsa.

MARA katanya, dari semasa ke semasa akan menambah unit Halal Park di kawasan lain yang berpotensi dan strategik jika mendapat sambutan dan permintaan daripada usahawan dan masyarakat umum.

Turut hadir pada majlis itu semalam, Naib Presiden Kanan HDC Dr Malek Musharaf dan Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.