SIBU: Masalah MyKad dan sijil lahir di kalangan masyarakat Sibu, khususnya kawasan Parlimen Lanang mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King berkata program ini bertujuan mendekati rakyat serta membantu menyelesaikan masalah yang timbul berkaitan dokumen pengenalan diri serta berkomunikasi secara terus dengan JPN.
“Sejak kebelakangan ini, kami ketahui masih ramai penduduk sekitar yang lahir tetapi wujud kelambatan proses mendaftar dengan segera khususnya kad pengenalan dan sijil kelahiran mereka.
“Kami jalankan program ini bertujuan memperkemas serta membantu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat yang berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Justeru katanya, JPN telah turun padang dan bekerjasama menyelesaikan segala kesulitan dihadapi penduduk Sibu melalui sesi dialog dan pembukaan beberapa kaunter bersama pegawai JPN.
Hadir sama Temenggung Vincent Lau, Penolong Pengarah JPN Yahya Hassan, Pengerusi Gabungan Generasi Muda Shahar Abdullah, pegawai JPN dan tetamu lain.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Wong Ngie Dung@ Wong Mee Tung, 74, menghadapi masalah memohon memperbaharui kad pengenalannya.
Menurut Ngie, kad pengenalan kependudukan tetap beliau tidak sah digunakan di mana-mana bank atau jabatan kerajaan disebabkan cip pada kad pengenalan yang lama tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.
“Saya pernah memohon untuk memperbaharuinya pada 7 Mei 2005 di JPN Sibu serta nombor siri resit bayaran saya 10-000509 tetapi selepas itu saya hanya menerima maklum balas menyatakan permohonan saya masih dalam siasatan.
“Sejak tarikh tersebut, saya tidak menerima sebarang surat berkaitan permohonan pembaharuan tersebut sehingga 16 Januari 2008 saya membuat permohonan sekali lagi.
“Pendek kata sehingga hari ini, masalah saya masih menemui jalan buntu,” ujar Ngie.
Sehubungan itu, Ngie menulis surat mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat tempatan serta hadir bersemuka dalam sesi dialog dengan JPN untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Program Dialog Bersama JPN sempena Jelajah Anak Malaysia ke Sibu dihadiri hampir 200 orang termasuk peserta konvoi di pekarangan Pintu Gerbang Sibu.