KUCHING: Sarawak berkemungkinan besar akan mengadaptasi modul-modul latihan teknikal New Zealand untuk diguna pakai di negeri ini.
Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil memberitahu, perkara itu bakal dicadangkan setelah mengambil kira pendidikan teknikal yang berkualiti ditawarkan oleh negara tersebut.
“Malah suatu ketika dahulu ketika tenaga kerja kita di sini kurang berkemahiran dalam bidang teknikal, kerajaan menghantar mereka ke New Zealand.
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual sempena The Borneo Post International Education Fair (BPIEF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, kelmarin.
Dr Jerip menjelaskan, bidang teknikal merupakan penekanan untuk menghadapi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi New Zealand Steven Joyce memberitahu, negaranya yang turut menekankan kemahiran dalam bidang teknikal, juga sedang berusaha merapatkan jurang dalam kerjaya kolar putih dan biru.
“Tidak ada sebab mengapa bidang teknikal dilihat sebagai kelas kedua sekiranya pekerja-pekerja dalam bidang ini dilengkapkan dengan kemahiran sewajarnya seperti profesion jurutera dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Naib Canselor Universiti Canterbury Dr Rod Carr ketika ditanya sama ada universiti itu mempunyai rancangan untuk menubuhkan kampus di negara ini, khususnya di Sarawak, beliau memberitahu:
“Setakat ini kami belum melihat keperluan kerana program-program usaha sama yang kami adakan dengan universiti atau kolej di Malaysia sudah memadai,” katanya.
Beberapa universiti dari negara tersebut turut mewujudkan ruang pameran pada BPIEF yang berlangsung selama dua hari dan berakhir kelmarin.
Selain Universiti Canterbury, antara institusi pengajian tinggi yang terlibat adalah seperti Christchurch Polytechnic Institute of Technology, Queenstown Resort College, Lincoln University New Zealand, New Zealand Tertiary College, Southern Institute of Technology, The University of Auckland, Waikato Institute of Technology, UCOL dan Univerisiti of Waikato.
Hadir sama, Penasihat BPIEF Phyllis Wong merangkap Pengurus Besar Operasi dan Editor Pengurusan Kanan Francis Chan.