Trienekens diminta sedia tempat buang sampah sistematik di BGS

0

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi meminta jasa baik pihak Trienekens menyediakan tempat khas bagi pembuangan sampah secara sistematik di Boyan-Gersik-Sourabaya (BGS).

Beliau berkata perkara itu merupakan cadangan pihaknya kepada JKKK BGS dalam mempromosikan kerja-kerja pengindahan kampung dan  menyokong misi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk melestarikan bandar raya Kuching.

“Dalam tempoh tiga hingga empat tahun, DBKU telah memberi fokus kepada beberapa elemen penting dalam menaik taraf bandar raya dan keselesaan penduduk di kawasan tadbirannya.

“Kita mesti menambah baik prasarana, menjaga kebersihan dengan gotong-royong dan mengatur JKKK untuk pembuangan sampah secara sistematik,” katanya.

“Baru-baru ini, ini yang kita telah lakukan iaitu mengadakan walkabout sepanjang 2.6 kilometer dari Bintawa ke Boyan untuk meninjau kawasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival BGS 2013 anjuran bersama PBB Ranting-ranting BGS dan Kejiranan Mesra BGS itu.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada juara Pertandingan Memasak (remaja/dewasa), pertandingan Dart Terbuka BGS dan Pertandingan Gubahan Hiasan.

Turut hadir Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Wahap Abang Julai dan Pengerusi BGS Asfa Salleh.