Usia bukan halangan warga tua menyumbang kepada masyarakat

0

MIRI: Usia bukan halangan bagi warga tua untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat terutama daripada aspek pengalaman serta idea-idea bernas mereka ke arah pembangunan negara.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata mereka hanya tua pada usia sebaliknya ramai daripada mereka masih bertenaga dan sihat untuk terus memberi sumbangan.

Berucap merasmikan Majlis Makan Tengah Hari Kelab Warga Tua Riam di sini semalam, Lee yang juga pengasas kelab berkenaan berkata ahli-ahli kelab terbabit boleh menyumbang dengan berkongsi pengalaman, pengetahuan khususnya dalam bidang yang pernah diceburi.

“Kita mungkin tua, tetapi pengalaman dan pengetahuan yang kita perolehi sepanjang kita berkhidmat sebelum ini adalah amat berharga.

“Malah, ia menjadi lebih berharga dan bermakna jika kita boleh berkongsi pengetahuan dan kepakaran kita itu dengan generasi muda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee mahu kelab tersebut menjadi pusat bagi warga tua untuk mengadakan perjumpaan, perkongsian dan perancangan aktiviti-aktiviti mereka.

Bagi menyokong usaha tersebut dan aktiviti kelab, Lee turut mengumumkan peruntukan RM5,000 bagi membolehkan mereka menganjurkan lebih banyak aktiviti pada tahun ini.

Turut hadir Pengerusi Kelab Warga Tua Riam Chai Chin Choi.