Latih penduduk kampung cara padamkan api, kata Jacob

0

LONG PILAH: Penduduk kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman Baram perlu dilatih bagaimana cara memadamkan api sekiranya berlaku kebakaran dan seterusnya mengawal kebakaran tersebut.

Langkah dan kesedaran awal itu perlu kerana ia bukan sahaja membantu mereka mengawal api daripada merebak dan membakar seluruh rumah panjang, malah dapat membantu menyelamat nyawa dan harta-benda.

Ahli Parlimen Baram Datuk Jacob Dungau Sagan berkata, masyarakat luar bandar sering berdepan dengan kemusnahan teruk apabila berlaku kebakaran kerana mereka tidak pernah diberi latihan untuk memadam dan mengawal api serta tiada alat bantuan memadam kebakaran.

“Akibatnya, seperti yang sering kita dengar penduduk akan kehilangan seluruh harta-benda termasuk barang pusaka mereka, dokumen penting, hasil tuaian seperti padi dan paling buruk ialah kehilangan nyawa.

“Justeru, pihak bomba perlu mengajar mereka (penduduk) cara memadam api dengan alat pemadam dan menggunakan peralatan lain yang perlu dari bilik ke bilik agar mereka faham dan tahu pentingnya langkah pencegahan awal kebakaran,” tambah beliau.

Jacob yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu demikian semasa menyempurnakan majlis pelancaran rasmi Pondok Pasukan Bomba Sukarela Long Pilah di Hulu Baram, petang kelmarin.

Mengenai pembinaan Pondok Bomba Sukarela tersebut, Jacob mengucapkan tahniah kepada kaum Kayan di Long Pilah kerana impian mereka untuk melihat sebuah ‘balai’ dan pasukan bomba sendiri akhirnya tercapai.

Lebih membanggakan, Pasukan Bomba Sukarela Long Pilah dipilih sebagai satu daripada tiga Pasukan Bomba Sukarela di Baram dan yang kelima daripada 24 Pasukan Bomba Sukarela yang aktif di seluruh negeri ini.

Pada masa ini, sebanyak 35 Pasukan Bomba Sukarela telah ditubuhkan di seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, Jacob turut meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengadakan lebih banyak program dan latihan memadam kebakaran di pedalaman Baram.

Beliau juga menasihati Pasukan Bomba Sukarela sentiasa aktif dan jangan menyimpan jentera pemadam kebakaran hanya di dalam stor seperti mana yang berlaku kepada Pasukan Bomba Sukarela Long San.

Ketika berlaku kejadian kebakaran di Long San baru-baru ini, jentera yang digunakan untuk memadam kebakaran gagal berfungsi kerana enjin tidak dapat dihidupkan dan anggota bomba sukarela tidak berada di rumah panjang ketika kejadian berlaku, sehingga api meranapkan keseluruhan rumah panjang tersebut.

Jacob turut mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM5,000 untuk Pasukan Bomba Sukarela Long Pilah dan RM5,000 untuk Biro Wanita Kampung Long pilah.