Thursday, September 19

Jadikan Kolej Komuniti instrumen penting untuk lahir modal insan: Khaled

0
SIAP: Khaled menunjukkan kek cawan yang dihiasnya semasa melawat tapak pameran yang diadakan sempena majlis pelancaran Pemerkasaan Kolej Komuniti di BCCK, semalam. Turut kelihatan Fadillah (kanan).

SIAP: Khaled menunjukkan kek cawan yang dihiasnya semasa melawat tapak pameran yang diadakan sempena majlis pelancaran Pemerkasaan Kolej Komuniti di BCCK, semalam. Turut kelihatan Fadillah (kanan).

KUCHING: Kementerian Pengajian Tinggi mahu agensi pembangun wilayah termasuk Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menjadikan Kolej Komuniti sebagai satu instrumen penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini terutamanya bagi memenuhi peluang tenaga kerja yang diperlukan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kementerian mahu agensi pembangun khasnya RECODA sebagai agensi bertanggunjawab SCORE menjadikan kesemua Kolej Komuniti di Sarawak sebagai satu instrumen penting melahirkan modal insan.

“Selain itu, belia-belia di negeri ini yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti mahupun kolej harus melihat Kolej Komuniti sebagai platform menyediakan kemahiran kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pemerkasaan Kolej Komuniti yang dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) Amir Md Noor, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Khaled berkata, untuk SCORE, antara bidang yang diberi perhatian ialah minyak dan gas, pembinaan, telekomunikasi serta pelancongan dan hospitaliti.

Katanya, sebagai permulaan, Kolej Komuniti Wilayah Sarawak akan bekerjasama melalui kolaboratif strategik dengan RECODA yang memberi tumpuan kepada bidang tujahan disasarkan.

Selain RECODA, katanya, sembilan lagi industri dalam kolaboratif strategik bersama Kolej Komuniti di Sarawak ialah Persatuan Kontraktor Pesisir Pantai Malaysia (MOCA), Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation, Coral Alliance Sdn Bhd, TWI Training & Certification (SE ASIA) Sdn Bhd (Sarawak), Kolej SATT, Hotel Dormani, Antaratek Sdn Bhd, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Cawangan Sarawak dan PKL Wong Architect.

Terdahulu dalam ucapannya, Khaled menjelaskan Kolej Komuniti mempunyai peranan besar dalam menyediakan modal insan berkemahiran tinggi untuk dibekalkan kepada lima koridor wilayah pembangunan ekonomi negara.

“Sehingga penghujung tahun 2012, seramai 850 pelajar Kolej Komuniti telah ditempatkan untuk bekerja di koridor wilayah ekonomi iaitu 400 orang di Iskandar Malaysia.

“Manakala, 150 di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), 150 di Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), 100 di Koridor Pembangunan Sabah dan 50 di SCORE,” jelasnya.

Menurut beliau, kini para graduan Kolej Komuniti ditawarkan sebagai tenaga kerja kompeten, khususnya dalam bidang minyak dan gas, automatif, pelancongan dan pemakanan.

“Saya berharap kerjasama antara Kolej Komuniti dan industri ini dapat dipergiatkan pada masa akan datang kerana saya percaya kerjasama seumpama ini menggambarkan pengiktirafan pihak industri kepada keupayaan dan kemampuan Kolej Komuniti,” katanya.