Wednesday, September 18

Pedalaman akan terus dimaju

0
PELANCARAN: Taib menandatangani plak digital untuk melancarkan penyambungan Kapit ke talian Grid Negeri Sarawak pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit, semalam.

PELANCARAN: Taib menandatangani plak digital untuk melancarkan penyambungan Kapit ke talian Grid Negeri Sarawak pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit, semalam.

Jawatankuasa khas mampu rancak pembangunan dan kemajuan Bahagian Kapit: KM

KAPIT: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Rancangan Wilayah Kapit diharap akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan di bahagian ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ini menunjukkan usaha keras kerajaan negeri untuk membantu serta lebih komited memajukan kawasan pedalaman di hulu sungai-sungai di negeri ini.

Jawatankuasa yang ditubuhkan itu, katanya, akan terlibat dalam membangunkan kawasan hulu Baram di Miri dan hulu Kapit.

“Saya mengarahkan timbalan saya iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai pengerusinya, sambil dibantu oleh timbalannya, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Alexander Nanta Linggi.

“Ahli-ahli kehormat lain iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen di sekitar Kapit akan menjadi ahli kepada jawatankuasa ini.

“Jawatankuasa ini membolehkan setiap kajian atau penyelidikan berkenaan de-ngan pembangunan di bahagian ini dirancang seterusnya dilaksanakan berdasar-kan perbincangan serta run-dingan dengan ketua-ketua masyarakat serta penduduk di sini.

“Kita perlu mempunyai pelan atau rancangan yang rapi dalam pembangunan di sini kerana Kapit adalah satu kawasan yang sukar dibangunkan memandangkan keadaan tanahnya yang berbukit-bukau. Bukan mudah untuk membangunkan kawasan ini,” ujarnya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kawasan Parlimen Kapit di Dewan Suarah Kapit, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo.

Turut hadir Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol, ADUN Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Torstein Dale Sjotveit serta kira-kira 2,000 penduduk.

Pada majlis sama, Taib turut melancarkan penyambungan Kapit ke talian Grid Negeri Sarawak yang dikendalikan oleh SEB.

Projek itu menelan kos sebanyak RM116 juta dan memberi manfaat kepada 6,000 buah keluarga termasuk pusat komersial di sini.

Mengenai potensi Kapit, Taib memberitahu kawasan Tunoh di hulu Baleh mempunyai peluang untuk dibangunkan menerusi jawatankuasa tersebut.

Beliau memberitahu, Tunoh mempunyai tanah rata serta sesuai untuk aktiviti pertanian dan perladangan seperti padi, getah dan kelapa sawit di samping berpotensi sebagai produk pelancongan.

“Tunoh merupakan sebuah bandar baharu di Kapit kerana mempunyai sumber-sumber yang perlu dibangunkan di samping sumber semula jadi,” jelasnya.

Katanya, pembangunan Kapit dirancang terlebih dahulu dengan mengambil masa bertahun-tahun kerana melibatkan peruntukan yang besar.

“Kita mesti lihat pembangunan yang akan dilaksanakan di sini dari segi masa depan dan keperluan rakyat. Kapit yang kini sudah maju turut mengalami populasi penduduk yang semakin bertambah.

“Kerajaan melihat aspek ini serta tahu bahawa warga Kapit adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN), seterusnya saya mencadangkan agar jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengenal pasti peluang-peluang yang baik dengan sumber-sumber yang ada agar memajukan Kapit meskipun sukar,” katanya.

Sehubungan itu, Taib menyeru warga Kapit agar memberi kerjasama kepada jawatankuasa terbabit bagi melancarkan segala pembangunan yang akan dirancang dan dilaksanakan pada masa akan datang.

“Ini bagi kepentingan serta manfaat bersama warga Kapit sendiri demi masa depan anak-anak serta cucu-cicit kita. Kapit adalah sebuah kawasan yang merangkumi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan berpotensi untuk maju dengan adanya Jawatankuasa Rancangan Wilayah Kapit,” jelasnya.

Taib turut menyeru warga Kapit agar terus menyokong kepimpinan BN khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Alexander bagi meneruskan usaha-usaha kerajaan membangunkan Kapit.

“Pilihan raya semakin dekat dan saya menyeru anda semua agar terus berdiri di belakang BN khasnya Alexander Nanta sebagai Ahli Parlimen anda di sini bagi mengecapi pembangunan yang berterusan,” katanya.