Pekebun kecil Sibuti diharap manfaatkan bantuan pertanian

0

MIRI: Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang mahu pekebun-pekebun kecil di kawasan Sibuti memanfaatkan sepenuhnya bantuan pertanian yang diberikan kepada mereka untuk memulakan projek pertanian secara kecil-kecilan sebelum memajukannya secara komersial.

Menurutnya, ia adalah langkah awal pekebun kecil di kawasan Sibuti yang terletak di pinggir bandar raya Miri ke arah usaha meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing.

“Bantuan ini bertujuan menyediakan sumber pendapatan kepada pekebun-pekebun kecil dan petani, sebagai usaha kerajaan membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka menerusi bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bantuan Input Pertanian Pekebun Kecil di Sungai Rait, Bakam di sini kelmarin.

Seramai 40 petani dan pekebun kecil di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Sibuti menerima bantuan itu.

Menurut Ahmad Lai, di kawasan Parlimennya permohonan petani dan pekebun kecil tersebut telah diluluskan oleh kerajaan pusat dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya setiap penerima diberikan seguni baja, pam racun dan racun (rumput) bagi membantu mereka memulakan aktiviti pertanian masing-masing termasuk berkebun sayur.

Beliau memberitahu bahawa program seumpama itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya bantuan itu secara berterusan disediakan kerajaan sebagai bantuan kebajikan bagi kumpulan sasaran.

“Adalah diharapkan bantuan input pertanian ini akan membolehkan pekebun kecil dan petani menjalankan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka,” katanya.